Kerajaan Negeri akan memulakan proses pemulihan daripada banjir dengan program diberi nama Selangor Bangkit yang melibatkan beberapa inisiatif.
Mengumumkan hal itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 28 agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan terlibat berkerjasama untuk memastikan rakyat menerima bantuan dan memulihkan kembali kehidupan mereka.
“Sepanjang operasi mencari dan menyelamat (selama 3 hari) sebanyak 453 kenderaan atau jentera dari pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan dari agensi Pertahanan Awam Malaysia, bomba, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rela dan Pihat Berkuasa Tempatan telah digunakan untuk operasi menyelamatkan mangsa.
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas tenaga barisan hadapan ini, untuk 2,817 dari pelbagai agensi semenjak 18 Disember lalu.
“Pada waktu ini keutamaan Kerajaan Negeri adalah menyelamatkan nyawa, menghulurkan bantuan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara dan membersihkan kawasan perumahan mangsa supaya mereka boleh kembali ke rumah.
“Usaha 28 agensi ini akan mula digerakkan secara teratur dalam prosea pemulihan Selangor Bangkit,” katanya dalam sidamg media di bangunan SUK Selangor, petang ini.
Untuk menyelaraskan proses pemulihan berkenaan, katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga telah menugaskan barisan Exco sebagai pegawai tertinggi penyelaras program dan kerja kerja lapangan.
“Untuk memastikan semua usaha yang dilaksanakan terfokus secara maksimum, Exco negeri akan bertugas sebagai vocal point bagi setiap aspek. Seperti bertugas menyelaraskan bantuan sukarelawan, pertubuhan belia, kebersihan, pemantauan, bantuan kesihatan dan lain lain,” katanya.
Untuk itu, MB mengumumkan Exco Khairuddin Othman dilantik sebagai penyelaras sukarelawan dan pertubuah belia bagi sukarelawan di luar dari 28 agensi Kerajaan Negeri dan pusat.
Exco V Ganabatirau dilantik sebagai penyelaras bantuan kebajikan termasuk dari kerajaan negeri, NGO, syarikat atau orang perseorangan
Exco Ng Sze Han akan menyeleras usaha pembersihan kawasan banjir melalui usaha PBT bersama sama pihak KDEB Waste
Exco Ir Izham Hashim akan menjadi penyelaras pemulihan insfrastruktur dan membangunkan segera prasarana yang rosak atau musnah akibat banjir
Exco Dr Siti Mariah Mahmud akan menyelaras bantuan kesihatan mangsa banjir dan dibantu oleh Exco Borhan Aman Shah melibatkan soal mangsa yang sakit atau perebakan Covid 19 akibat banjir.
Exco Rodziah Ismail akan dipertanggungjawabkan menyelaras bantuan Pusat Pemindahan Sementara sama ada di masjid, premis persendirian dan sebagainya. Premis PPS yang tidak rasmi tidak akan ditutup tetapi diselaraskan penghantaran bantuan.
Exco Ahmad Zawani Mughni akan memantau rumah ibadah untuk memastikan keadaan dan bantuan yang diperlukan bagi proses pemulihan.
Kerajaan Negeri turut mengumumkan jumlah yang sama sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri bagi bantuan banjir ke seluruh negara, iaitu sebanyak RM100 juta untuk program Selangor Bangkit.
“Bantuan RM10,000 akan diberi kepada keluarga mangsa yang kehilangan nyawa dan RM1,000 kepada setiap keluarga terkesan bencana banjir
“Juga termasuk bantuan pemulihan kawasan perumahan, insfrastruktur yang mengalami kerosakan, bantuan kesihatan, pungutan sisa pepejal dan sebagainya
“Pihak KDEB waste akan membantu melakukan usaha pembersihan dan menggerakkan jentera di kawasan yang tidak parah dilanda banjir, membantu memungut sisa atau sampah yang terhasil dari kejadian banjir,” katanya.
Selain itu, Amirudin juga mengumumkan perlepasan bil air selama sembulan kepada akaun yang terjejas di lokaliti banjir.
Kerajaan Negeri katanya, turut menangguhkan bayaran balik pinjaman selama 2 bulan kepada usahawan Hijrah yang terlibat banjir dan implikasi kewangan melibatkan nilai RM15 juta.