Penamatan awal khidmat Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di seluruh negara mulai 1 Januari 2022 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilihat sebagai usaha kerajaan BN untuk menyekat pengaruh Perikatan Nasional (PN) di peringkat akar umbi.
Bagi aktivis KEADILAN Selangor, Adzman Kamaruddin, PeKT yang diasaskan oleh Menteri KPKT, Datuk Zuraida Kamaruddin itu dijadualkan tamat kontrak lantikannya pada 2022.
Apabila PeKT ditamatkan awal, katanya, ia menunjukkan kesungguhan BN untuk menyekat pengaruh PN pada tahun ini, yang dijangka akan diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
“Saya melihat tindakan ini sebagai satu langkah drastik BN menyekat PeKT yang sebelum ini didakwa menjadi perkakas politik kepada PN untuk menyalurkan peruntukan kerajaan dari wang pembayar cukai kepada pendukungnya.
“Penubuhan PeKT ini diilhamkan Zuraida Kamaruddin, bekas Ketua Wanita KEADILAN yang khianat parti dan dibuat selepas cadangannya dibentangkan pada 24 Jun 2020. Ia bertindak sebagai ‘komuniti’ dalam sesebuah pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Secara positif, penamatan PeKT dibuat lebih awal berbanding penggal berakhir pada 31 Disember 2022 adalah satu tindakan wajar kerana halatuju yang tidak jelas di samping bermotifkan politik dan bertindih dengan tugas Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan.
“Ini jelas apabila PeKT hanya wujud di negeri yang dikuasai pembangkang iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,” katanya.
Menurut Mantan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Selangor itu lagi, penamatan PeKT boleh menjimatkan dana kerajaan dan boleh disalurkan untuk keperluan yang lebih penting, berbanding mendanai ahli politik PN di kawasan pembangkang.
“PeKT dilihat Ahli Parlimen Pembangkang sebagai pembaziran apabila semua lantikan diberi gaji RM2,000 sebulan dan RM10,000 diperuntukkan untuk setahun.
“Malah daripada 157 calon PeKT yang dilantik itu, 101 adalah bekas anggota KEADILAN yang merupakan konco kepada menteri yang telah mengkhianati parti sendiri dalam Langkah Sheraton,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan ini mungkin akan merancakkan lagi perbalahan antara PN dan BN dalam Kerajaan Persekutuan yang mana masing masing cuba menambah pengaruh menjelang PRU 15.
“Perkembangan terbaru ini saya lihat akan melumpuhkan jentera propaganda politik PN, khususnya dari kem Zuraida dan menimbulkan persoalan sejauh mana kejujuran BN dalam kerjasama dengan PN membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Sama-sama kita nantikan impak keputusan ini,” katanya lagi