Angkatan Belia Islam (ABIM) Malaysia Selangor membantu mangsa banjir di negeri itu sejak hari pertama di Pusat Pemindahan Sementara sehinggalah misi pasca banjir membersihkan rumah dan membantu menyumbang barang barang keperluan harian.
Menurut Yang Di-Pertua ABIM Selangor, Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri, NGO itu berjaya mengatur sukarelawan untuk bertindak pantas dalam banjir pada pertengahan Disember lalu, dan bergantian sukarelawan sehingga ke hari ini.
“Rumah demi rumah dijalankan kerja pembersihan, premis kerajaan dan sekolah-sekolah menerima bantuan daripada sukarelawan ABIM Selangor dengan kerjasama 7 lagi NGO dan beberapa pihak ADUN dan korporat.
“Sehingga 31 Disember 2021, kami berjaya mengedarkan bantuan dengan anggaran sebanyak RM700,000 yang disalurkan kepada 13,000 orang penerima manfaat.
“Sebanyak 123 misi dijalankan dalam bentuk edaran barang keperluan, makanan, pembersihan dan sokongan psikologi dengan kekuatan seramai 850 orang sukarelawan daripada pelbagai lapisan umur dan kaum,” katanya.
Selian itu, beliau juga kagum dengan sikap rakyat Malaysia yang amat banyak membantu dalam misi banjir tanpa mengira kaum atau agama.
“Di sinilah persaudaraan kita terserlah, budaya cakna kita tercungkil, budaya damai kita terlihat. Semua yang menerima musibah wajib dibantu, tidak kira agama, bangsa dan keturunan.
“ABIM Selangor akan meneruskan Misi Pasca Banjir untuk tahun 2022 ini dengan harapan dapat mengurangkan sedikit sebanyak kesusahan yang rakyat hadapi,” katanya lagi.
Beliau menegaskan ABIM akan sentiasa mengamalkan cogankata ‘Senang bersama susah bersama’, itulah Keluarga Malaysia yang sebenarnya, tegas beliau.