Tindakan Kerajaan Negeri Pahang mengeluarkan perintah larangan melakukan aktiviti berkaitan penebangan balak melalui Jabatan Perhutanan Negeri kelmarin seolah-olahnya mengaku bahawa pembalakan merupakan salah satu faktor yang menyebabkan banjir besar di negeri itu.
Bagaimanapun, menurut ADUN Semambu, Lee Chean Chung langkah pembekuan berkenaan hanyalah tindakan jangka pendek dan tidak akan menyelesaikan masalah.
“Hakikatnya pembalakan dan penggondolan hutan telah menyebabkan kerosakan pada tempoh yang panjang tetapi tindakan dalaman yang terselindung dan hubungan urusniaga sepanjang waktu ini termasuk informasi yang tersekat, telah menyebabkan rakyat tidak sedar apa yang sebenarnya berlaku.
“Saya menggesa agar Kerajaan BN – Perikatan Nasional menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan Bebas yang menyeluruh dan telus bagi memberi penjelasan kepada lebih 10,000 mangsa banjir yang terjejas, dan rakyat seluruh negara.
“Kerajaan perlu memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan mengemukakan resolusi berdasarkan hasil siasatan itu. Bukannya sekadar menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu dan mengabaikan nyawa serta kepentingan rakyat terbanyak,” katanya.
Tambah Bendahari Agung KEADILAN itu, aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan di Pahang bukanlah sesuatu yang baharu dan isu tersebut rumit kerana penglibatan pelbagai pihak namun kerajaan Pahang memilih untuk mendiamkan diri sejak dahulu
Malah, katanya, jika Kerajaan Negeri turut mempunyai beberapa anak syarikat yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pembalakan, bagaimanakah Kerajaan Negeri mahu menyelesaikan masalah berkenaan.
“Saya pernah mengutarakan isu ini dalam sesi pembahasan Belanjawan Negeri Pahang 2022, bahawa sebanyak 26% pendapatan Kerajaan Negeri adalah dari pembalakan dan perlombongan. Hal itu mestilah diperbaiki
“Sejak dari dulu, isu pencemaran Tasik Chini, isu sisa radioaktif Lynas dan lain lain, Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah memilih untuk bersama dengan rakyat.
“Oleh itu, Kerajaan BN perlu mengambil keputusan segera menubuhkan Jawatankuasa Bebas yang merangkumi parti politik dan pertubuhan alam sekitar menjalankan siasatan banjir kali ini,” katanya lagi.
Chean Chung menolak tindakan berdiam diri Kerajaan Negeri dan menunggu satu lagi bencana banjir sebelum memberi perhatian sewajarnya.
Untuk rekod, Pahang menghadapi dua kali banjir besar pada 2021, iaitu bulan Januari dan Disember lalu.