Isu banjir yang masih caca marba agihan bantuan serta kaedah masa hadapan menanganinya harus dirungkaikan dengan menubuhkan satu suruhanjaya khas, sama ada menyiasat atau memberi cadangan penambahbaikan kepada kerajaan.
Hal itu disuarakan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan lawatan dan serahkan sumbangan mangsa banjir di Melaka, hari ini.
Menurut beliau, pengurusan banjir di Malaysia seharusnya dipertingkatkan dan tidak boleh negara ini dibandingkan dengan negara yang kekurangan sumber kewangan.
“Kenyataannya 54 lebih kematian termasuk hari ini, puluhan ribu terkesan dan kelewatan bantuan.
“Saya ke Pahang, saya lihat satu minggu, seorang abang beritahu dia kata, Anwar ini kali pertama makan minum tak dibantu.
“Oleh yang demikian kita mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri beri penjelasan. Ada Parlimen biar bahas. Saya tak tahu pasal Melaka biar, Shamsul (Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya) terangkan, Ismail tak tahu masalah Port Dickson biar saya terangkan, jadi biar ada perbincangan, dengar masalah akar umbi,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mengkritik alasan kerajaan BN – PN tidak mendalam sungai dan kurang melakukan persiapan menghadapi musim tengkujuh kononnya kerana kekurangan sumber kewangan.
“Masalah sungai tak dikorek, tebing tak dibangunkan. Wang tak ada, tetapi belanja bilion bina ECRL, HSR boleh buat.
“Tebing sungai ini menjejaskan kehidupan orang bawah. Covid 19 yang paling parah kesannya orang miskin, banjir orang susah. Jadi kita anggap orang peringakat bawahan tak perlu diperduli, kononnya wang tak cukup. Tetapi lantik menteri sampai 70 orang dengan segala kemudahan, tak fikir pula soal wang,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu juga sekali lagi menyarankan, syarikat syarikat balak khususnya di Pahang harus dipertanggungjawabkan dan memberi bantuan kepada bangsa banjir akibat kerakusan mereka meneroka hutan.
“Terkait soal pembalakan, sampai balak besar di depan rumah orang, apa jenis kerajaan tak tunjuk prihatin?
“Jadi henti pembalakan, kaji semula kelulusan diberikan dan saya cadangkan syarikat balak turun beri bantuan. Syarikat balak untung RM200 juta, nak beri bantuan RM200 kepada orang kampung tak boleh. Kamu punya kedurjanaan merosakkan persekitaran, menyebabkan hakisan parah. Jadi hal ini saya harap PM beri jawapan tegas dalam masa yang singkat,” katanya lagi.