Banjir luar biasa yang melanda Selangor pada 18 – 24 Disember lalu adalah fenomena baharu akibat perubahan iklim atau climate change yang tidak mempunyai panduan cara menanganinya dalam protokol menghadapi bencana Kerajaan Negeri terdahulu.
Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor (MB) Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, Kerajaan Negeri memutuskan agar Unit Bencana Negeri perlu mempunyai protokol baharu dalam menghadapi banjir pada skala besar selepas ini, termasuk operasi evakuasi, menyelamat dan penempatan mangsa banjir.
“Unit Bencana Negeri akan mengemaskini prosedur dan protokol menghadapi banjir pada masa hadapan. Perkara tersebut akan dimuktamadkan dalam retreat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Februari nanti supaya dapat menangani saiz banjir sebagaimana yang kita hadapi pada pertengahan Disember lalu, berbanding saiz banjir sebelum ini yang lebih kecil,” katanya dalam sidang media semalam.
Dalam sidang media sama, MB turut mengumumkan kajian untuk bantuan membaiki serta membina rumah baharu bagi 908 unit rumah mangsa banjir yang terjejas.
Katanya, Exco Rodziah Ismail dipertanggungjawabkan mengumum bentuk bantuan yang akan diterima oleh mangsa banjir.
“Setakat 4 Januari, 908 unit rumah di 8 daerah diketahui untuk dibaik pulih atau dibina baru. 32 perlu dibina baharu dan selebihnya baik pulih.
“Kerajaan negeri sedang meneliti senarai penuh untuk dimuktamatkan. Kerajaan Negeri pertanggungjawabkan hal ini kepada YB Rodziah Ismail untuk melihat apa yang diperlukan untuk baik pulih rumah. Di samping Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga membantu baik pulih.
“32 telah sedia dibina semula oleh LZS. Baik pulih ada beberapa kategori dan kita akan menetapkan sumbangan diperlukan. Dalam tempoh seminggu YB Rodziah akan mengumumkan bentuk bantuan baik pulih,” katanya.
Selain itu, menurut Amirudin, Kerajaan Negeri juga akan membaik pulih beberapa batang jalan yang masih ditutup dan meluluskan peruntukan segera kepada Jabatan Kerja Raya sebanyak RM31.7 juta.
“Kerajaan Negeri lulus peruntukan untuk kerja darurat pembersihan ceruh dan tebing jalan Peras – Kuala Kelawang, jalan Rawang – Kuala Selangor, Selayang – Kepong, penggantian jambatan Sg Jenderam, kerja baik pulih jalan rosak Sg Lui, Bagan Lalang. Jalan akan siap dalam satu ke dua bulan.
“Peruntukan keseluruhan RM396 juta untuk untuk JKR, kesan dari banjir ini. Saya masih berbincang sebahagiannya melibatkan jalan Persekutuan.
“Untuk jalan negeri RM275 juta peruntukan diperlukan,” katanya.
MB juga mengumumkan Kerajaan Ngeri akan menyediakan bantuan Back To School kepada anak anak mangsa banjir dan datanya telah dimilikki oleh agensi negeri. Program tersebut akan dilaksanakan di kesemua daerah.