Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik tidak jelas mengapakah beliau dipanggil untuk disoal siasat polis di IPD Putrajaya, pagi tadi.
Katanya pada 10 Januari lalu beliau hanya hadir untuk menyaksikan anggota Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menyerahkan memorandum dan mengangkat sepanduk meminta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki berundur. Tidak lebih daripada itu.
“Siasatan hari ini berkaitan kehadiran saya menyaksikan AMK menyerahkan memorandum kepada SPRM pada Isnin lalu.
“Mereka kata mereka tahu saya bukan penganjur dan mereka kata tahu saya terlalu tua untuk menjadi AMK. Tetapi kehadiran saya di situ menyebabkan mereka membuka satu kertas siasatan,” katanya.
Dr Maszlee kesal kerana polis terpaksa membuka kertas siasatan di atas perkara yang remeh temeh sedangkan banyak perkara lain berkaitan tugas membenteras jenayah perlu mereka diselesaikan.
Serahan memorandum Isnin lalu, katanya adalah isu negara dan tidak sepatutnya kerajaan menggunakan Akta Perhimpunan Aman untuk bertindak balas.
“Saya lihat perkara ini tidak patut berlaku kerana yang dibawa AMK itu adalah kepentingan negara.
“Isu SPRM sebuah badan dipertanggungjawabkan memerangi rasuah tetapi terdapat isu berkaitan pemimpin nombor 1 mereka. AMK serah memorandum, saya hadir menyaksikan.
“Jadi menyaksikan juga didakwa satu kesalahan dan menyebabkan saya disiasat,” katanya.
Dr Maszlee disiasat di bawah di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.