Banjir besar yang melanda Pahang, khususnya Karak pada pertengahan Disember 2021 lalu biar pun telah surut tetapi masih meninggalkan puing puing yang sukar dibersihkan biar pun menggunakan jentera berat
Tinjauan Suara Keadilan sempena program bacaan puisi anjuran Paksi semalam, mendapati masih banyak kayu kayu yang bertumpang tindih di beberapa buah kampung terjejas di Karak. Bukan sahaja rumah yang dirempuh banjir masih terlihat kesan kesan kemusnahan dan belum dibaiki kerana tuan punya menantikan bantuan, sungai dan tali air pun banyak yang belum dibersihkan daripada timbunan kayu kayan.
Dalam ucapan aktivis seni sepetang itu, mereka menyindir kepala air ‘berjaya’ memotong kayu balak dengan cantik sekali. Juga terdapat aktivis politik yang mengimbau cerita ‘gurauan’ banjir berlaku akibat naga berenang ke Laut China Selatan.
“Saya teringat cerita arwah datuk saya. Tok saya bila bercerita kami berkeliling. Cerita yang lekat dalam ingatan saya ialah banjir tahun 1926. Katanya, di tebing sungai tok memandang ke laut. Laut bukan Laut China Selatan tetapi bila air melimpah, orang nampak seperti laut. Tok nampak ada benda berkilau di tengah sungai Pahang. Kami tanya tok nampak apa? Tok nampak naga turun dari bukit Kertau berenang nak pergi ke Laut China Selatan. Maka melimpahlah air, jadi banjir.
“Tetapi tok saya tak ada cerita tentang balak (hanyut). Jadi balak ini bukan disebabkan oleh naga. Tok tak cerita balak yang cantik terpotong.
“Jadi banjir kali ini bukan disebabkan naga. Sekarang kita nak tunggu, mana pula raja balak….,” kata aktivis KEADILAN Pahang, Ahmad Nizam Hamid.
Beliau turut memberitahu psikologi rakyat Pahang tidak sama seperti Selangor yang mungkin menyalahkan orang lain kerana banjir. Di Pahang, katanya, rakyat memang menanti banjir pada hujung tahun, cuma tahun ini ‘balak’ bencana banjir lebih hebat daripada biasa.
“Kita marah dengan longgokan ini (balak). Kawan saya sebut (balak) ini bagaimana perlambangan kecintaan pemerintah kepada rakyat. Sebab orang Selangor dia tak paham psikologi orang Pahang. Kerana kami tiap tiap tahun dalam kepala hujung tahun akan banjir.
“Tiap tiap tahun akan ada musim banjir, jadi pemerintah dia tahu tiap kali musim banjir musnah harta benda. Cuma kali ini cukup bagus dia hantar balak balak. Balak ini dihantar kepad rakyat untuk baiki rumah. Ambillah, potong, ketam dan baiki rumah kalau mahu,” katanya dalam nada sinikal.
Selain Ahmad Nizam, pemimpin KEADILAN Selangor Yahya Shari juga sinis dengan pengumuman Jabatan Perhutanan Pahang yang membenarkan sesiapa mengakui balak bertumpang tindih itu milik mereka maka boleh membawa keluar selepas dibayar cukai.
Sementara Senator Datuk Ismail Yusop berkata, banjir balak itu adalah bukti bumi Pahang dinodai oleh tangan tangan para koruptor.
“Lihatlah bagaimana bumi ini telah dinoda oleh tangan tangan yang korup dan mereka yang terlibat ini lupa bagaimana derita rakyat akibat kerakusan mereka merompak hasil bumi,” katanya.