Tindakan kerajaan BN membenarkan operator pengendali lebuh raya membuat keputusan hanya menggunakan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di plaza plaza tol mengembalikan ingatan rakyat kepada era ‘diktator’ BN pada tahun 1970 an – 1990an lalu yang tidak berminat untuk mengetahui pandangan rakyat.
Dalam hal RFID yang mempunyai beberapa kelemahan, kerajaan seharusnya bersikap terbuka dan tidak bersetuju dengan permintaan syarikat konsesi untuk memansuhkan penggunaan kad Touch ‘n Go (TnG) sedia ada.
Bagi Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil, rakyat tidak sewajarnya dipaksa menggunakan RFID sahaja sedangkan kad TnG masih banyak kegunaan dalam sistem pengangkutan awam dan juga di beberapa aplikasi seperti pakir kereta dan sebagainya.
“Kad TnG sebenarnya lebih mesra pelanggan kerana boleh digunakan untuk kemudahan lain seperti parkir kereta dan kenderaan awam LRT, MRT dan sebagainya.
“Kaedah penggunaan RFID sepenuhnya secara tunggal di tol lebuh raya jika dilaksanakan kelak, pasti menimbulkan masalah kepada pengguna apabila ia gagal berfungsi dengan baik. Lagipun, kad TnG boleh digunakan untuk banyak kereta, sedangkan sticker RFID hanya boleh digunakan untuk satu kereta sahaja.
“Ini bermaksud, rakyat perlu membeli sticker RFID bagi setiap kereta yang digunakan dan ini pasti menambah beban terutama golongan M40. Sudahlah, lebih 20 peratus golongan M40 tergolong dalam golongan B40 sekarang, kaedah ini pasti menambah beban golongan ini yang biasanya memiliki lebih daripada satu kereta.
“Kerajaan dan PLUS juga digesa untuk mengkaji semula kaedah ini supaya tidak membebankan golongan miskin bandar memandangkan kebanyakan pengguna lebuh raya adalah penduduk di kawasan bandar,” katanya.
Faiz dalam pada itu turut membangkitkan harga stiker RFID yang begitu mahal dan hanya menguntungkan mengeluar sebaliknya membebankan rakyat.
“Dengan harga stiker RFID yang cukup mahal (RM35), penjualannya hanya menguntungkan kroni dan membebankan rakyat. Tidak sepatutnya, kerajaan dan PLUS mementingkan kepentingan kroni dalam keadaan hidup rakyat susah, ekonomi negara masih meleset, dengan kadar inflasi 3.3 peratus pada November 2021 dan harga barang yang semakin naik.
“Saya menyeru kerajaan dan PLUS untuk memberikan stiker RFID ini secara percuma, kerana keuntungan pasti diperolehi melalui pembayaran tol melibatkan lebih sejuta kenderaan sehari untuk menampung kos stiker yang hanya bernilai beberapa ringgit sahaja,” katanya.
Kontroversi RFID sewajarnya menjadi batu sempadan kepada rakyat marhaen untuk menolak BN dalam pilihan raya umum ke 15 akan datang.
Dalam keadaan parti itu kekurangan sokongan pun ‘perangai’ lama memeras rakyat tidak berubah apatah lagi sekiranya BN menang 2/3 di peringkat Persekutuan sebagaimana dalam Pilihan Raya Negeri Melaka tempoh hari.