Banjir yang melanda Selangor pada pertengahan Disember 2021 lalu dan proses evakuasi yang perlahan berpunca daripada ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang kurang tepat.
Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, kerajaan seharusnya meningkatkan keupayaan jabatan itu dengan menaiktaraf teknologi digunakan bagi mengelakkan kelewatan mengeluarkan amaran banjir berulang.
“Mengenai banjir ini, pelbagai hujah termasuk dari Perdana Menteri berkata ia bencana di luar jangka (perbahasan Parlimen semalam). Menteri Alam Sekitar dan Air sebut juga. Dihuraikan oleh Ketua Pembangkang, benar ia satu bencana tetapi mesti ada kesepakatan di seluruh agensi dan kementerian untuk mengambil tindakan segera
“Saya melihat ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi tidak tepat (salah satu faktor). Mungkin juga ramai tak perasan ada ramalan dikeluarkan jabatan ini (oleh itu lambat bertindak).
“Justeru perlu cari jalan untuk ramalan lebih tepat dikeluarkan, mungkin guna teknologi lebih baik,” katanya.
Semalam, kekecewaan yang sama juga diluahkan oleh beberapa Ahli Dewan Negeri Selangor yang memuat naik tangkap layar ramalan MetMalaysia tidak menunjukkan sebarang amaran banjir pada 17 Disember, meskipun hujan turun sepanjang hari. Amaran tahap merah hanya dikeluarkan pada 18 Disember ketika banyak tempat telah mula ditenggelami air.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor itu lagi, banjir besar di Lembah Klang juga seharusnya menjadi pengajaran kepada Kerajaan Persekutuan agar tidak lagi memotong peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga menyukarkan mereka menguruskan sungai atau membina sistem siren amaran banjir baharu.
“Isu sengaraan sentiasa menghambat JPS. Jabatan ini selalu kurang peruntukan, saya cadangkan supaya diberi peruntukan sewajarnya kepada JPS terutama sengaraan parit, sungai dan sebagainya
“Begitu juga (bajet) penyelenggaraan kepada PBT, untuk laksanakan tugas secara berkala,” katanya.
Syed Ibrahim juga menyentuh mengenai peraturan guna tanah dan perancangan bandar yang perlu diperbaiki terutama dalam aspek mengkaji undang undang yang diluluskan berdekad lalu, ketika bumi kini memasuki era perubahan iklim global.
Katanya, perlu disediakan lebih banyak kawasan semula jadi yang tidak dibangunkan bagi menguruskan limpahan air banjir.
“Kita kena ada perimbangan antara kawasan penempatan penduduk dan kawasan pengurusan air atau alam sekitar. Kita ambil contoh Taman Sri Muda, Shah Alam, ramai menyebut bahawa sebenarnya kawasan itu tidak sesuai untuk perumahan tetapi mengapa dijadikan kawasan perumahan?
“Ini mesti disiasat dan diteliti supaya tidak lagi berlaku pada masa akan datang. Mesti ada perimbangan antara kawasan penduduk dengan alam sekitar dan pengurusan air,” katanya.
Beliau turut mengkritik pengurusan banjir peringkat kebangsaan yang bercelaru dan menyukarkan arahan tuntas diberi pada Disember lalu.
Katanya, tindakan bersepadu memerlukan satu penyelerasan yang jitu dan mantap serta kukuh dari peringkat tertinggi sehingga ke bawah.
“Tidak adanya arahan kepada tentera untuk keluar (evakuasi) kita kena semak, jika benar berlaku kenapa? Mengapa tidak ada mekanisme boleh mengarahkan tentera dalam keadaan yang luar jangka bantu rakyat?
“Saya juga mohon agar ada tindakan sepadu melibatkan wakil rakyat seluruh kawasan. Jangan tengok parti, ideologi politik, mereka semua dalam bencana mesti dibantu.
“Jawatankuasa bencana di peringkat daerah atau negeri saya cadangkan perlu diisi sama oleh wakil rakyat pembangkang,” katanya lagi.