Anak muda akan meneruskan aksi protes biar pun himpunan pagi tadi tidak mencapai matlamat untuk berarak ke Masjid Negara dan Dataran Merdeka.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Howard Lee dalam ucapannya menegaskan anak muda tidak akan berundur dan terus bertekad untuk menyelamatkan maruah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Pagi ini ramai yang tanya kita, tak takutkah ditangkap polis? Tidak takutkah kena Covid?
“Kita takut, tetapi kita lebih takut sekiranya negara kita hancur. Apakah tindakan kita? Hari ini anak muda bertindak turun ke jalan raya, kita tunjuk perasaan. Kita menyuarakan suara amarah rakyat
“Kerajaan dengarlah suara anak muda. Kita nak kembalikan maruah SPRM. Anak muda akan terus beraksi sehingga Azam Baki berundur,” katanya.
Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda pula menegaskan anak muda tidak mengira parti politik hari ini telah menunjukkan kejijikan mereka terhadap pelakuan rasuah dengan turun ke perhimpunan #TangkapAzamBaki.
Beliau mengharapkan agar kerajaan BN selepas ini berubah pendirian untuk melakukan siasatan lebih telus terhadap Azam.
“Hari ini anak muda berkumpul tanpa mengira parti politik, NGO dan pertubuhan.
“Kita berhimpun hari ini bukan hanya nak melawan Azam Baki. Kita berkumpul untuk melawan sistem yang korup dan bermasalah. Kita nak melawan sistem yang dibina oleh BN yang membenarkan manusia seperti Azam Baki wujud dalam sistem itu.
“Apa yang kta lakukan hari ini perlu kita teruskan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu wakil dari Angkatan Muda KEADILAN berkata, Azam Baki sepatutnya menjadi contoh tauladan baik kepada anak muda, bukannya terlibat dalam salah laku.
“Ketua SPRM sebagai penjawat awam sepatutnya menjadi ikon kepada anak muda Malaysia. Tetapi apa yang mendukacitakan kita ketua SPRM, beliau telah melakukan kesalahan.
“Kami anak muda dalam KEADILAN bersama mahasiswa, NGO dan juga parti politik lain menuntut agar kerajaan merehatkan Azam Baki agar SPRM dapat dibersihkan dengan baik,” katanya.
Wakil NGO pula mahu kerajaan BN tidak meneruskan perangai lama era Perdana Menteri sebelum ini yang mendiamkan kes kes berprofail tinggi tetapi menyegerakn kes yang melibatkan orang bawahan.
Tunjuk perasaan tersebut berakhir di Stsen LRT Bangsar pada pukul 12 lebih dengan anak muda membuat gimik menangkap dan merantai seorang anggota penguatkuasa.
Beliau dirantai dan diiringi sepanjang jalan bagi menunjukkan salahlaku korupsi sesuatu yang serius dan tidak boleh dikompromikan.