Pakatan Harapan (PH) menuntut agar kerajaan mengembalikan hak berkempen kepada parti parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berikutan pandemik Covid 19 yang menunjukkan trend stabil.
Menurut Majlis Presiden PH, memandangkan wabak Covid sudah semakin bersifat endemik dan jumlah penerima dos kedua yang mencecah 80% serta dos penggalak lebih 30% maka PH berpendirian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memperbetul kembali Prosedur Operasi Piawai (SOP) pilihan raya bagi membolehkan ceramah umum dan kempen rumah ke rumah dilakukan.
“PH mahu ceramah dan aktiviti-aktiviti kempen bersemuka seperti pemberian bahan cetak ke ruma rumah dibenarkan dengan pematuhan ketat SOP
“Juga akses media diberi kepada semua parti secara adil dari segi ruangan masa serta ruangan cetak di akhbar dan media online
“SPR juga diminta untuk bergerak aktif dan berada di kedutaan-kedutaan Malaysia di Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia serta negara-negara lain bagi memastikan undi pos dapat dilaksana dengan baik,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.
PH juga menuntut agar SPR memanjangkan tempoh kempen sekurang-kurangnya selama 21 hari.
Selain itu, Majlis Presiden turut bersetuju untuk melibatkan pelbagai parti politik yang sehaluan untuk ikut serta sebagai sekutu pada PRN Johor kali ini.
“Majlis Presiden bertekad merangkul seluruh kekuatan Pembangkang dan masyarakat sivil dalam usaha memenangi PRN Johor ke-15 bukan sahaja demi memenangi semula mandat rakyat yang telah diperoleh pada PRU-14 yang lalu, tetapi dengan matlamat membentuk sebuah Kerajaan Negeri yang lebih stabil demi masa depan Johor yang lebih baik,” kata mereka.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut tetap mengkritik tindakan Kerajaan Negeri BN Johor yang membubarkan DUN pada waktu rakyat tidak sepenuhnya bersedia diadakan PRN.
Tegas Majlis Presiden, pembubaran DUN Johor merupakan tindakan yang diatur khusus untuk mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan melaksana PRU ke-15 segera. Pada ketika rakyat terutama di Johor masih terbelenggu dengan isu ekonomi, wabak Covid dan banjir
Bagaimanapun kata mereka, PH telah membuat keputusan untuk bertanding dalam PRN kali ini, dan isu-isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, calon Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti-parti Pembangkang yang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau.