Pakatan Harapan (PH) yang memutuskan untuk bersama parti parti pembangkang lain seperti Pejuang dan Muda menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu berhati hati dalam melaksakan strategi ‘khemah besar’.
Menurut mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Hassan Abdul Karim, PH terpaksa mencuba strategi khemah besar setelah kalah dalam tiga siri PRN iaitu Sabah, Melaka dan Sarawak yang menyebabkan strategi dilaung laungkan oleh DAP dan Amanah itu menjadi popular.
“Apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terbubar pada 22 Januari lalu dan PRN akan diadakan, maka Mohamad Sabu dari Amanah melanjutkan strategi pemimpin-pemimpin DAP lainnya yang melaungkan tuntutan supaya PH membina “Khemah Besar”.
“Kita sebenarnya tidak tahu apa yang dibincangkan di dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 24 Januari di Ibupejabat KEADILAN di Petaling Jaya.
“Yang kita ketahui di akhir mesyuarat itu dikeluarkan satu kenyataan media yang ditandatangani oleh Presiden KEADILAN, Presiden Amanah, Setiausaha Agung DAP dan Presiden UPKO yang antara lainnya menyebut PH membuat keputusan untuk mengadakan persefahaman politik dengan parti-parti pembangkang lain.
“Bagaimanapun di dalam kenyataan media itu tidak disebut logo apa yang akan digunakan oleh PH di dalam PRN Johor. Walaupun kemudian terbit kenyataan di media sosial menyatakan PH akan memutuskan soal logo dalam masa dua hari,” katanya.
Namun menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang itu, strategi khemah besar amat tidak popular dalam kalangan anggota KEADILAN dan tidak tahu bagaimanakah penerimaan mereka selepas khemah yang sama pernah dirobohkan oleh Bersatu yang berkhianat pada Februari 2020 lalu.
Begitu juga, katanya, anggota KEADILAN mahu logo parti itu digunakan sebagai logo bersama PH mengahdapi PRN Johor.
Semua itu, kata Hassan ditanggung oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba mengimbangi di antara desakan dalaman juga desakan rakan rakan komponen PH.
“Anwar amat tahu sikap dan pendirian anggota KEADILAN dalam isu khemah besar yang sering dibawa oleh Liew Chin Tong dari DAP dan kini dijeritkan pula oleh Mohamad Sabu, Presiden Amanah.
“Bukan satu rahsia lagi bahawa anggota dan penyokong KEADILAN mendesak supaya logo parti itu digunakan oleh PH dalam PRN Johor
“Anwar cukup memahami perasaan aktivis-aktivis KEADILAN yang semakin lantang bersuara “bukan kita tidak sayangkan PH tetapi kita lebih utamakan kemenangan KEADILAN”,” katanya.
Walau apa pun menurut Hassan, hal yang paling utama perlu pertimbangan secara rasional ialah berhati hati menghadapi cabaran dua parti baharu yang mahu dijadikan sekutu oleh PH.
Katanya, PH perlu menimbang dengan cermat semua perkara dalam merangka strategi kali ini agar tidak menimbulkan penolakan rakyat di Johor.
“Saya amat ngeri membayangkan KEADILAN dan PH kalah dalam PRN Johor kerana strategi yang salah.
“Pertanyaan saya sebagai seorang anggota KEADILAN yang minta Anwar Ibrahim fikirkan ialah persoalan adakah PH dengan strategi khemah besar itu menguntungkan KEADILAN?
“Saya percaya Umno dan BN boleh dikalahkan dalam PRN Johor. Dengan KEADILAN yang memimpin PH dan menjadi tulang belakang, disertakan strategi yang betul, kita boleh mengulangi lagi kejayaan pada PRU-14 lalu iaitu menewaskan BN dan kita berjaya mengambil alih kerajaan pusat di Putrajaya,” katanya lagi.
Sejak pengumuman dibuat kelmarin, strategi khemah besar mendapat sokongan dan bangkangan dalam kalangan anggota KEADILAN.
Namun kebimbangan utama adalah mengenai pembahagian kerusi, adakah Pejuang dan Muda mempunyai jentera yang kuat di Johor?
Pada pendapat anggota KEADILAN sekiranya dua parti itu tidak mempunyai cawangan yang signifikan, tentu sahaja kerusi yang boleh diberikan kepada mereka terhad dalam jumlah kecil.
Tidak mungkin seperti pembahagian dalam PRU 14 lalu, Bersatu yang tidak diketahui kekuatannya mendapat kerusi sama banyak dengan DAP dan KEADILAN.