Ketegasan KEADILAN untuk menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mempunyai alasan yang kukuh.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan, keputusan mengguna pakai logo sendiri itu juga bersesuaian dengan gesaan KEADILAN Wilayah sejak tahun lepas.
Katanya, Amanah dan DAP pernah menggunakan logo WARISAN ketika PRN Sabah, maka keputusan KEADILAN di Johor tidak perlu dilihat janggal.
“Keputusan itu telah dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH)
“Keputusan tersebut wajar difahami oleh kesemua pendokong PH berdasarkan faktor logo KEADILAN merupakan jenama yang telah dikenali di seluruh Malaysia sejak lebih 20 tahun.
“Ini merupakan satu faktor besar kerana keterbatasan kempen pilihan raya rumah ke rumah kali ini akibat pendemik Covid19,” katanya.
Selain itu, menurut Zahir lagi, cogankata “Keadilan Untuk Semua” dapat dirasai dan dilihat oleh rakyat dengan penglibatan kesemua kaum di setiap peringkat parti di bawah payung logo KEADILAN.
“Logo ini juga telah melakar kemenangan bersejarah pada Pilihan Raya Umum ke 14 dengan mendapat sokongan majoriti rakyat seluruh negara.
“Lambang ini juga menjadi simbol perjuangan suci membela marhaen menentang sistem korup dan zalim, bukannya perjuangan golongan elit,” katanya.
Tambah Zahir, apa pun yang berlaku semua keputusan itu dibuat dalam kerangka strategi bersama PH untuk menawan kembali Johor.
“Demi memastikan Johor bakal ditadbir oleh KEADILAN dan rakan komponen PH, gerak kerja cerdas dan pintar harus dimulakan dari sekarang,” katanya lagi.