KEADILAN berlapang dada untuk berunding dengan mana mana parti politik dalam penghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan hadapan mahu pun Pilihan Raya Umum.
Bagaimanapun, menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim rundingan yang mensyaratkan hanya mahu kepada satu satu parti sahaja sebagai sekutu tidak boleh diterima
Beliau berkata demikian mengulas spekulasi media kononnya akan berlaku kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi pilihan raya.
“Ada pandangan kata mahu kerjasama dengan KEADILAN tetapi mesti menolak DAP. Kita tidak boleh terima begitu kerana DAP dengan KEADILAN adalah induk dari awal, dan masing masing telah membuktikan kesetiaan.
“Saya tidak boleh menolak begitu sahaja. Sekarang dengan Amanah, dengan UPKO di Sabah. Tetapi kalau nak bincang secara berasingan dengan Amanah atau DAP kita tidak menghalang.
“Tetapi dengan cara tanpa DAP atau tanpa KEADILAN itu sukar kita terima,” katanya.
Menjelaskan mengenai progres rundingan dengan parti parti pembangkang lain yang dijemput oleh Pakatan Harapan (PH) untuk bersama sama menumbangkan BN di Johor, Pengerusi PH itu berkata rundingan serius sedang diaturkan.
“Belum, ada sedikit rundingan di kalangan pembangkang. Tetapi saya fikir rundingan itu mestilah munasabah. Kalau tuntutan berlebihan mempamerkan keangkuhan tidak mungkin (kerjasama) berlaku,” katanya lagi.