Politik Malaysia dalam 4 tahun kebelakangan ini diwarnai oleh pengkhianatan, mungkir janji dan berakhir dengan dua tokoh politik dijatuhkan serta dilupakan.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tokoh pertama memungkiri janji dalam penggal 2018 – 2023 dengan menolak untuk menyerahkan kuasa kepada Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Hassan, sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 hampir seluruh rakyat Malaysia telah maklum janji bahawa sekiranya PH menang maka Dr Mahathir akan menjadi PM sementara. Malangnya politikus veteran itu enggan menunaikan perjanjian yang disepakati.
“Janji ini telah dimungkiri oleh Mahathir sendiri. Maka, apakah balasannya?
“Orang kanan Mahathir ketika itu, Muhyiddin Yassin telah membawa Parti Bersatu keluar daripada PH dan kemudian Muhyiddin Yassin memecat Mahathir dari Bersatu. Muhyiddin tumbangkan Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh,” katanya.
Namun menurut Hassan, perjalanan sumpahan mungkir janji itu tidak terhenti
Katanya, Muhyiddin yang menjadi Presiden Bersatu dan bersama PH menumbangkan Umno dan BN dalam PRU-14 adalah pihak yang terlibat serta bersetuju dalam janji Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara
Bagaimanapun setelah Mahathir tumbang, Muhyiddin juga memungkiri janji.
“Muhyiddin rampas jawatan Perdana Menteri dari Mahathir untuk dirinya sendiri jadi Perdana Menteri Malaysia yang kelapan.
“Apakah balasan perbuatan Muhyiddin ini? Muhyiddin tidak kekal lama sebagai Perdana Menteri. Hanya setahun lebih sahaja, iaitu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, di mana rakyat terkurung, Parlimen digantung dan Darurat diisytiharkan di seluruh negara.
“Kemudian sampai masa giliran Muhyiddin pula ditumbangkan. Kini giliran Umno menggulingkan Muhyiddin. 15 orang Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin di Parlimen
“Muhyiddin dipaksa meletak jawatan setelah pengkhianatan dan kerajaan PN menyembah bumi selepas itu,” katanya..
Menurut Hassan lagi, demikianlah pengajaran kepada Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin yang rakus kuasa.
Kedua duanya telah memungkiri janji kepada rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan. Akibatnya tindakan politik mereka yang tidak beretika dan tidak setia kepada janji itu telah menyebabkan legasi politik keduanya dihumban ke bakul sampah sejarah dan tidak akan dikenang sebagai negarawan terbilang sebagaimana layaknya bekas Perdana Menteri.