Kerajaan ‘Abah’ Mahiaddin dan ‘Keluarga Malaysia’ Ismail Sabri ternyata gagal total mentadbir negara berikutan harga barang keperluan harian melambung tinggi sejak pentadbiran Pakatan Harapan dijatuhkan pada Februari 2020.
Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, kenaikan harga atau inflasi berdasarkan kajian telah berlaku sejak 22 bulan lalu tanpa berjaya dihentikan oleh kerajaan PN mahu pun BN.
“Berdasarkan maklumat yang saya himpunkan daripada data 24 bulan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Indeks Harga Pengguna (IHP) bulanan bagi subkumpulan makanan dan minuman tanpa alkohol mengalami peningkatan selama 24 bulan berturut turut sejak Januari 2020 sehingga Disember 2021.
“Inflasi yang tinggi ini menghakis kuasa membeli rakyat, baik golongan T20 atau M40 apatah lagi B40. Keluarga berpendapatan rendah daripada golongan B40 yang dilanda kemiskinan pelbagai dimensi kini berdepan risiko kekurangan khasiat kerana kuasa beli barangan makanan yang berkualiti dan mencukupi semakin menurun dan terpaksa mencatu makanan,” katanya.
Loh menegaskan penyelesaian jangka panjang bagi isu kenaikan harga harus kembali kepada asasnya, iaitu meneliti dasar kerajaan dan mekanisma pengeluaran serta bekalan makanan tempatan bagi menjamin sekuriti bekalan.
Katanya, campur tangan kerajaan ke atas harga barangan pengguna hanyalah satu langkah pembetulan (corrective action) yang terbukti tidak mampan
“Kita lihat campur tangan sementara seperti kawalan harga terhadap ayam segar dan telur merugikan pengguna dan pengeluar ayam segar serta berisiko membunuh industri ternakan ayam tempatan secara perlahan.
“Malah tindakan Kerajaan membuka kedai koperasi atau Coop Mart bagi menjual barangan asas kepada penduduk secara bersasar sejak bertahun lalu dengan kos yang lebih murah tidak berjaya menyelesaikan masalah inflasi dan isu jaminan makanan secara menyeluruh dalam jangka masa panjang,” katanya.
Sebaliknya, punca sebenar inflasi, jelas Loh adalah berkaitan kegagalan kerajaan menjana industri makanan dalam negara. Hal ini terbukti berdasarkan laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) 2021 dan 2022, Peratusan Tahap Sara Diri (SSL) beras telah menurun daripada 74.30 %(2019) kepada 69.00 %(2020) dan purata hasil padi dikeluarkan juga menurun daripada 4.10 tan metrik/hektar (2019) kepada 3.64 tan metrik/hektar (2020).
“Ini bermakna, usaha dan strategi Kerajaan PN seperti peruntukan khas Pandemik Covid 19 Dana Jaminan Makanan sebanyak RM 1 bilion yang diumumkan oleh PM Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac 2020 menjamin sekuriti makanan telah gagal.
“Maka Wanita KEADILAN menggesa Kabinet Ismail Sabri agar mengambil berat isu kenaikan harga barang yang menekan hidup rakyat dengan mencari penyelesaian masa jangka panjang dan lebih menyeluruh bagi isu jaminan bekalan makanan dan kenaikan harga barang,” katanya lagi.
Isu kenaikan harga barang telah menjadi kegusaran rakyat sejak 3 bulan lalu apabila harga sayur sayuran melambung.
Terkini setelah sebulan berlaku kenaikan harga ayam segar dan campurtangan kerajaan untuk menurunkan harga namun bekalan ayam dan telur pula dilaporkan berkurangan di pasaran, rakyat mahu satu dasar yang lebih bijaksana dirangka dan bukan penyelesaian tradisi secara ad hoc sebagaimana formula BN sejak berdekad dekad lalu.