Peneroka yang membeli saham Felda Global Venture Holdings (FGVH) secara pinjaman bank berpeluang membatalkan urusan tersebut dalam tempoh terdekat.
Hal itu dijelaskan oleh Pengerusi Biro Peneroka Felda dan Orang Asal KEADILAN Hj Suhaimi Said. Katanya, selain surat permohonan dan perjanjian pinjaman yang ditandatangani peneroka sebelum ini, satu lagi dokumen pengesahan permohonan tersebut akan dikeluarkan oleh pihak bank sebelum urusan pinjaman diperakui.
“Peneroka boleh menarik balik persetujuan yang telah ditandatangani untuk membuat pinjaman pembelian saham Felda.
“Bagi yang mengisi borang pinjaman, bank akan mengeluarkan satu dokumen kepada mereka sama ada bersetuju atau tidak terhadap nilai pinjaman yang dipohon. Peneroka boleh memilih untuk tidak meneruskan pinjaman itu,” katanya.
Menurut Suhaimi, banyak peneroka yang merasa tertipu setelah menandatangani dokumen kerana perjanjian dibuat dalam bahasa Inggeris dan mereka tidak memahami dengan jelas terma serta syarat perjanjian.
“Urusan pembelian saham ini lebih kepada penipuan kerana peneroka tidak faham isi perjanjian.
“Risiko besar menunggu sekiranya peneroka gagal membayar balik pinjaman. Harta mereka boleh dirampas oleh pihak bank. Malah berkemungkinan mereka berhadapan dengan risiko bankrap,” katanya.
Tambah beliau, saham yang dibeli oleh peneroka dalam jumlah yang kecil, sekiranya harga turun maka mereka bukan sahaja tidak untung malah terpaksa membayar balik pinjaman menggunakan wang peribadi.
Suhaimi juga mempertikai surat akuan yang menyebut peneroka tidak boleh mengambil apa-apa tindakan, sama ada kepada pihak bank mahu pun pengurusan Felda. Baginya terma tersebut amat tidak bertanggungjawab kerana meletakkan kesemua beban di bahu peneroka.
“Penyenaraian ini hanya akan mengkayakan golongan yang telah sedia kaya (kroni BN) sebaliknya peneroka yang membeli sejumlah kecil saham menghadapi pelbagai risiko yang tidak dapat mereka banyangkan,” ujarnya.
Sementara itu mengikut kajian sebuah badan perunding bebas hanya 35 peratus sahaja pengawai tinggi Felda percaya penyenaraian FGVH akan berjaya. Perunding itu, Boston Consulting Group, juga mendapati bahawa 55 peratus pengurus kanan lembaga itu tidak bersedia untuk rancangan penyenaraian itu.
Malah, hanya 20 peratus dari kalangan pengurus berkenaan yang menyokong rancangan tersebut, menurut kajian itu lagi.
Kajian tersebut mengambil kira pandangan daripada 30 pengurus kanan dalam Felda.
Hasil kajian itu dikemukakan November lalu kepada jawatankuasa pemandu untuk penyenaraian tersebut, yang diketuai pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.
Semakan ke atas prospektus untuk penyenaraian itu menunjukkan bahawa 53 peratus daripada pokok kelapa sawit di tanah rancangan Felda sudahpun tua, selain 31 peratus pokok muda dan hanya 16 peratus pokok matang.
Sedangkan satu syarikat lain mempunyai 78 peratus pokok matang, 15 peratus pokok muda dan hanya 7 peratus pokok tua, menurut PKR yang membuat bandingan itu.
Berdasarkan perkara itu, PKR sekali lagi mempersoalkan niat sebenar kerajaan untuk menyenaraikan FGVH.