Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan diadakan pada 12 Mac ini dan tarikh tarikh penamaan calon pada 26 Februari amat penting bagi rakyat untuk mengembalikan kerajaan yang berwibawa dan mampu menyelamatkan bangsa Johor.
Menyedari sengitnya PRN itu dengan tiga gabungan utama Pakatan Harapan (PH), BN dan PN serta beberapa parti kecil lain mengambil bahagian maka PH membentuk pakatan pilihan raya bagi mengurangkan pertembungan.
Sehubungan itu, menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh bersesuaian dengan strategi rundingan, KEADILAN setuju untuk menawarkan kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tiga kerusi untuk ditandingi.
“Berhubung isu agihan kerusi, KEADILAN telah mengadakan tiga siri rundingan bersama dengan Muda selari hasrat yang dinyatakan oleh Majlis Presiden PH dan PH Johor.
“Dalam siri rundingan tersebut, masing-masing telah memberi pandangan secara jujur dan terbuka
“Hasil dari rundingan ini, KEADILAN telah menawarkan tiga kerusi kepada Muda dan sedang menunggu maklumbalas berhubung tawaran tersebut,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, petang tadi, DAP dan Amanah telah menandatangani perjanjian kerjasama bersama Muda dan kedua dua parti itu menyerahkan 8 kerusi kepada Muda untuk ditandingi.
PRN Johor: Muda dapat 6 kerusi dari DAP, Amanah
Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diberi laluan oleh Amanah dan DAP untuk bertanding di 6 kerusi milik mereka dalam Pilihan Raya Negeri Johor, Mac ini.
Persetujuan itu dibuat secara bertulis dan ditandatangani oleh ketiga tiga ketua parti DAP, Amanah dan Muda petang tadi.
Berikutan itu Muda akan mendapat 6 kerusi yang dahulunya merupakan kerusi ditandingi Bersatu.
“Keputusan ini adalah hasil rundingan antara Amanah, DAP dan Muda menjelang PRN Johor nanti,” kata kenyataan bersama ketiga tiga mereka.
Enam kerusi yang diberikan kepada Muda ialah Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
Bulan lalu Pakatan Harapan telah membahagi bahagikan kerusi untuk ditandingi yang mana KEADILAN mendapat 20 kerusi, Amanah 20 dan DAP 16. Kemudian parti parti komponen dibenarkan berunding sendiri dengan mana mana parti di luar Pakatan Harapan (PH) untuk kerjasama pilihan raya.
Bagi ketiga tiga parti itu rundingan tersebut dianggap berjaya kerana tidak akan berlaku pertembungan di antara mereka dalam PRN.
“Ini serasi dengan prinsip khemah besar untuk menyatupadukan semua parti politik dan menggembleng tenaga yang bersedia melawan kerajaan BN-PN,” kata mereka lagi.
Difahamkan DAP memberi kerusi Bukit Permai dan Machap kepada Muda sementara selebihnya adalah kerusi Amanah.
Sementara rundingan Muda dengan KEADILAN masih berjalan dan belum diketahui keputusannya.