Kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki baru baru ini bahawa suruhanjaya itu pernah menerima laporan berhubung tawaran wang untuk wakil rakyat lompat parti namun sukar membuktikannya, dipertikaikan rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, SPRM seharusnya melakukan siasatan rapi ke atas setiap laporan, yang sesetengahnya lengkap dengan bukti dan sebagainya.
“Secara amnya memberikan wang kepada ahli politik yang lompat parti itu adalah rasuah. Tidak kisahlah jabatan kerajaan, menteri (yang memberi), ia tetap dianggap rasuah dan perlu disiasat dan dibuktikan jika ada yang bersalah.
“Dalam hal ini kita nak tanyalah adakah ia (tindakan) menutup kesalahan ahli politik?
“Pihak SPRM perlu jelaskan perkara ini sepenuhnya. Ini perlu dilakukan kerana ia (tawaran) adalah salah dan dianggap rasuah,” katanya.
Untuk rekod, sejak bermulanya Langkah Sheraton pada Februari 2020 berpuluh puluh ahli politik telah melompat parti untuk membentuk kerajaan baharu dan penghijrahan tersebut dikaitkan dengan tawaran kewangan serta jawatan kerajaan.
Bagaimanapun Azam, sebagaimana dilaporkan Free Malaysia Today berkata siasatan sukar dilakukan kerana Malaysia tidak mempunyai undang undang pembiayaan dana politik yang boleh memastikan dana yang disumbangkan kepada parti bukan dari sumber haram.