Kewujudan nama nama pelik dalam Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak seharusnya dibiarkan menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat.
Sebaliknya, pertubuhan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 menyarankan kerajaan segera menubuhkan satu jawatankuasa bebas untuk mengaudit DPT terbaharu tersebut.
“Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil merujuk kepada kenyataan media Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh yang mempersoalkan nama meragukan berada di dalam senarai daftar pemilih tambahan (DPT).
“Terdapat dua nama yang pelik seperti “Deseased” dan “Expired” yang berada di dalam senarai DPT itu dan kebetulan kedua-duanya daripada Johor.
“Bersih menggesa agar pihak kerajaan terutamanya Perdana Menteri segera menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas Audit Daftar Pemilih bagi menyemak dan mengaudit daftar pemilih.
“Jawatankuasa Audit Daftar Pemilih ini sangat mustahak ditubuhkan bagi memastikan integriti daftar pemilih tidak diragukan terutamanya dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik (PPSA) dan Undi 18 yang menyaksikan pertambahan pengundi sebanyak 5.8 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 21.1 juta pemilih.
“Jawatankuasa Audit Daftar Pemilih ini perlu melibatkan semua pihak termasuklah pembangkang, pakar pilihan raya dan pertubuhan masyarakat sivil,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.
Menurut Bersih lagi, selain SPR, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga perlu menyiasat perkara itu kerana kedua-dua agensi tersebut bertanggungjawab dalam pendaftaran nama ke dalam senarai daftar pemilih.
“Pihak SPR perlu lebih teliti dalam memastikan nama-nama yang dimasukkan ke dalam senarai daftar pemilih adalah nama yang sahih dan tidak meragukan.
“Kebersihan senarai daftar pemilih adalah asas utama kepada pelaksanaan pilihan raya yang bersih dan adil. Keyakinan pengundi kepada integriti senarai daftar pemilih amat penting supaya proses dan keputusan pilihan raya dapat diterima oleh semua pihak,” kata mereka lagi.