KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) menjanjikan pentadbiran yang lebih baik buat rakyat Johor sekiranya diberi mandat pada 12 Mac ini.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Hasni Mohammad jangan menganggap beliau sahaja boleh diangkat sebagai ketua kerajaan Johor, sedangkan PH mempunyai calon calon MB yang lebih hebat.
“Calon MB, Hasni jangan ingat dia seorang sahaja boleh jadi MB. Kita pun ada calon lebih baik. Saudara Dr Maszlee misalnya, bekas Menteri Pendidikan. Orang DUN Layang Layang. Ini calon boleh diketengahkan menjadi MB,” katanya dalam siri jelajah santai KEADILAN di sebuah restoran di DUN Bukit Batu, pagi tadi.
Dalam ceramah santai itu juga Shamsul mempertikaikan pengumuman terbaharu Presiden Umno, Zahid Hamidi bahawa calon yang akan diletakkan di Johor bercirikan wali, sedangkan katanya, wali adalah orang alim yang tidak cocok dengan perjuangan Umno.
“Saya ketawa bila Presiden Umno berbohong calon calon dari BN berciri wali. Wali ini orang alim, bukan penyangak. Presiden pun ada 47 pertuduhan kes. Baca pertuduhan dekat 2 jam. Tetapi dia kata calon Umno bercirikan wali.
“Kalau betul bersih, saya pasti tidak akan ada PRN kali ini. Mereka akan tunggu pilihan raya umum. Kecuali kita tahu ada ketidak stabilan antara PN dan BN. Yang tak boleh jadi kerajaan stabil BN dan PN kerana secara terbuka mereka bergaduh.
“Ini penting utuk kita sama sama tahu. Kali ini kita nak buat pilihan, pastikan kerajaan yang dilantik baik dan belajar dari pengalaman lalu,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga mengimbau kejayaan PH memerintah Johor selama 22 bulan sebelum dijatuhkan oleh BN.
“Kita ada pengalaman 2018 mengurus negeri Johor. Tetapi pengalaman kita tak lama, namun selama 22 bulan itu paling tidak rekod kita boleh dijadikan sandaran kepada orang Johor untuk meneruskan khidmat PH.
“Misalnya kalau kita tengok Laporan Ketua Audit Negara 2019, dari 4,900 projek pembangunan yang dirancang PH, laporan audit mengesahkan 93% kita telah berjaya laksanakan.
“Ini laporan audit yang bebas. Banyak projek kita rancang, berjaya kita lakukan. Pelaburan yang masuk jauh lebih baik, hampir RM300 juta melebihi apa yang ditunjukkan BN sebelumnya. Pengurusan negeri jauh lebih baik walaupun BN jadi kerajaan sejak merdeka,” katanya.
Justeru, Shamsul menyeru agar pengundi DUN Bukit Batu mengundi calaon KEADILAN, Arthur Chiong Sen Sern pada pilihan raya kali ini
“Dari segi calon yang kita ketengahkan untuk rakyat meletak harapan (terbaik), saudara Arthur, penduduk sini yang ada pendidikan baik. Perniagaan juga baik. Saya yakin dia tidak akan lompat.
“Kita pun akan luluskan dalam bulan Mac ini, Akta Anti Lompat Parti (agar pengundi tidak kecewa lagi). Kalau lompat kita buat pilihan raya semula,” kata Shamsul.