Tohmahan BN dan PN dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kononnya rakyat serik dengan 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dibalas persoalan adakah rakyat bahagia dengan kerajaan selepas itu?
Soalan berkenaan diutarakan oleh Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media KEADILAN Johor, pagi ini.
“Pada satu sisi rakyat dimomokkan dengan 22 bulan di bawah PH rakyat serik. Saya nak tanya adakah rakyat lebih baik di bawah kedua duanya (BN dan PN)?
“Oleh itu apabila KEADILAN menampilkan 20 calon, juga bersama parti lain yang dalam gabungan, kita letakkan 56 calon.
“Bermaksud kita masuk PRN menawarkan diri pada tanggal 12 Mac ini supaya diberi peluang, undi KEADILAN dan PH. Kita masuk PRN bukan untuk hantar pembangkang yang kuat tetapi menubuhkan Kerajaan Negeri.
“Dengan mesej itu KEADILAN menampilkan calon pro rakyat, kita katakan lawan kita adalah satu pakatan politik (yang tidak stabil) sedang sibuk bertembung sesama mereka,” katanya.
Menurut beliau lagi, KEADILAN tidak peduli dengan propaganda sambutan luar biasa kempen Bossku di setiap kawasan kerana membelanjakan banyak modal dan jentera.
Bagaimanapun, katanya, beliau yakin rakyat di beberapa DUN yang diberi tumpuan akan memenangkan calon KEADILAN pada PRN ini berdasarkan rekod perkhidmatan kawasan kawasan yang dimenangi parti itu pada pilihan raya lalu.
“KEADILAN masuk dengan kesedaran yang tinggi. Kita tidak meremehkan semangat rakyat Johor untuk mengundi (yang terbaik).
“Kita tidak terpengaruh dengan (kempen) Bossku, dengan berapa banyak himpunan.
“Sebaliknya pengundi di kawasan Layang Layang, Bukit Naning, Rengit, Semarang, Semerah, di kawasan yang kami punya keyakinan bahawa pengundi bersedia memberi kami peluang,” katanya.
Selain itu, Saidfuddin juga memberi nasihat kepada pengundi agar memilih calon yang berwibawa demi masa hadapan bangsa Johor.
Katanya, memilih BN dan PN adalah malapetaka kerana kedua dua gabungan itu telah membudayakan pertengkaran sebagai rutin harian politik mereka.
“Perikatan dan BN boleh menimbulkan ketidakstabilan. Mereka bergaduh hari hari dan menjadi norma baharu sesama mereka. Pergaduhan itu pula adalah pure politic dan bukan berkenaan isu rakyat.
“Berbeza KEADILAN, kami tampilkan calon calon yang membawa track record perkhidmatan bersifat people centric. Pilih BN untuk kestabilan, kalau itu yang mereka bawa maka rakyat tak perlu melalui keadaan sekarang. Tetapi itulah yang berlaku
“KEADILAN adalah untuk rakyat, BN dan PN adalah untuk diri mereka sendiri. Dan kalau mereka menang kita (akan) tengok pergaduhan berterusan,” katanya lagi.