Rakyat Terengganu masih lagi terkesan dengan banjir besar luar musim yang berlaku baru baru ini.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN, Azan Ismail, ramai mangsa yang mengharapkan bantuan Kerajaan Negeri untuk membina semula kehidupan mereka, terutama bantuan kewangan.
Katanya, kerajaan Pas yang bangga dengan dasar membangun bersama Islam sepatutnya mencontohi kerajaan Selangor, sama ada ketika banjir mahupun bantuan kepada rakyat yang terjejas.
“Banjir di peringkat sederhana (sebelum ini) pun Pas gagal. Apatah lagi dia (Pas) nak urus banjir yang berpanjangan macam ini.
“Saya rasa kelemahan Pejabat Daerah uruskan masalah banjir ini kerana menerima arahan dari Kerajaan Negeri yang lemah.
“Bantuan awal tidak berjaya diuruskan seperti di Selangor. Rakyat Terengganu boleh dikatakan 70% rosak rumah dan sebagainya,” kata Azan.
Azan mengulas proses evakuasi yang lambat dilaksanakan, biar pun Terengganu bukan negeri pembangkang dan mendapat kerjasama amat baik daripada Nadma, polis dan bomba.
Namun katanya, kelemahan di peringkat Kerajaan Negeri amat terserlah kerana banjir Tahap 1 dan 2 tidak melibatkan banyak jentera Kerajaan Persekutuan melainkan Pihak Berkuasa Tempatan dalam menyediakan pusat pemindahan sementara.
Selain itu, Azan juga meragui mangsa banjir akan diberi bantuan RM1,000 sebagaimana mangsa banjir di Selangor tahun lalu
“Saya meragui kerajaan Pas ini. Mereka gagal menilai peruntukan atau bantuan kepada rakyat. Mereka tidak pandai uruskan masalah bencana banjir ini.
“Sekarang ini saya rasa rakyat jaga rakyat sahaja,” katanya lagi.
Banjir di Terengganu kali ini dianggap mengejutkan kerana tidak berlaku dalam musim tengkujuh Disember hingga Januari. Apatah lagi kenaikan paras air yang amat pantas berbanding banjir yang berlaku saban tahun.
Sebanyak 18,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke PPS dan Kerajaan Negeri seolah olah tidak mampu menghadapi bencana kali ini yang menimbulkan kritikan rakyat kerana wilayah Pantai Timur sering dilanda banjir dan semua peralatan dianggap dalam keadaan siap sedia.