BN turun berkempen di Johor dengan tema kestabilan politik.
Namun menurut Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari kerana hasutan BNlah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan hasutan sama juga menyebabkan kerajaan PN jatuh.
Maka katanya, untuk memastikan kestabilan politik seharusnya BN dijadikan pembangkang selama sepenggal.
“Kita PH nak stabilkan kerajaan sampai habis penggal. Tetapi BN ambil peluang (kacau ganggu). Hingga MB Kedah kata negeri itu tenang kerana kurang wakil rakyat BN. Maknanya yang menggelorakan keadaan adalah Umno BN. Yang terpengaruh PN. Yang jadi mangsa pula rakyat dengan permainan politik tidak ada kesudahan.
“Cara selesaikannya ialah tubuh kerajaan yang stabil. Macam mana, buat PRN.
“Namun saya kata, syarat nak stabil ialah dengan satu penggal tinggalkan BN,” katanya dalam ceramah di DUN Semerah, Johor, malam tadi.
Tambah Amirudin, jika BN menjadi pembangkang segala hubungan para pemimpin mereka dengan kekayaan sesebuah negeri akan berkurangan dan mereka semakin sukar untuk bergerak tanpa kewangan kukuh.
Oleh kerana itu, katanya, sebaik sahaja BN kalah di peringkat persekutuan maka mereka merancang untuk menumbangkan PH bagi memastikan mereka masih mempunyai cara untuk mendapatkan sumber kewangan.
“Sebab mereka tahu selepas satu penggal jika Umno BN beri peluang (PH) perintah maknanya sukar mereka untuk rampas balik.
“Boleh tak mereka rampas balik? Antaranya negeri Kedah pada PRU 13. Tetapi banyak tempat lain tidak dapat dirampas balik kerajaan yang mereka hilang.
“Kerana mereka gagal untuk mengagihkan kepentingan (kewangan) kepada pemimpin mereka. Tanpa kerajaan Umno BN tak boleh bertapak. Sebab itu sebaik kerajaan PH kerkuasa Umno BN cuba macam macam cara. Timbul kekeliruan, sengketa kaum malahan mereka bergabung pula dengan Pas. Sekarang ada lagi ke Muafakat Nasional kita pun tak tahu.
“Ada Langkah Sheraton. Dua tiga kerat dalam KEADILAN terbawa bawa dengan agenda tersebut, tubuhkan PN. Namun apa jadi dengan PN? Kalau PH dikatakan gagal 22 bulan, PN 18 bulan tergolek
“Yang gagalkan PN ialah Umno BN. Sebab mereka tahu inilah peluang nak rampas dengan tarik sokongan kepada Muhyidin kemudian ambil sebahagian yang bersama Muhyiddin bentuk kerajan baru,” katanya.
Sementara itu, dalam ceramah MB di DUN Larkin beliau mengimbau skim skim bantuan rakyat yang disediakan oleh kerajaan PH Johor semasa memerintah selama 22 bulan.
Katanya, jika PH diberi peluang menamatkan penggal maka mungkin skim bantuan Johor akan sama banyak dengan di Selangor.
“Kad Sihat Johor bagi RM500 kepada penerima program B40 di Johor yang dibuat oleh kerajaan PH
“Program ini sama dengan program Peduli Sihat di Selangor yang kita buat pada 2017. Rakyat tidak perlu beratur panjang ke klinik kerajaan dan dibayar oleh kerajaan PH.
“Setakat ini ada 80,000 keluarga yang memperolehi nikmat. Air percuma Selangor buat, Johor pun buat. Ramai kata kalau buat macam itu negeri muflis. Bertahun tahun Selangor belanja RM300,000.
“Apa yang dilaksanakan di Selangor itu akan dibuat di Johor,” katanya dalam ceramah pada petang ini.
Justeru, Amirudin menyeru rakyat Johor agar membuat perubahan dengan merehatkan BN untuk satu penggal bagi melihat keupayaan PH memerintah dan memberi manfaat kepada rakyat.