Pondok panas dalam jarak 50 meter dari pusat pembuangan undi dilarang, begitu juga khemah untuk perayu undi tidak dibenar didirikan berdasarkan Prosedur Operasi Piawai (SOP) ketika pandemik Covid 19.
Namun lain halnya dalam Pilihan Raya Negeri Johor kali ini. Berlaku di pusat mengundi kubu kuat parti kerajaan, pondok panas dan perkumpulan para penyokong seolah olah tidak menyalahi peraturan.
Hal itu didedahkan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh yang melawat sekolah Kebangsaan Sagil Kampong di DUN Gambir, sebentar tadi.
“Saya sekarang di Sekolah Kebangsaan Sagil Kampong. Tempat mengundi DUN Gambir. Saya tinjau memang masih ada pondok panas, memang masih ada yang berhimpun, bertenggek di kawasan 50 meter dari pusat mengundi. Ini kesalahan Seksyen 26 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Saya ambil tindakan dengan berjumpa pegawai pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Saya kata, dia kena ambil tindakan.
“Menurut beliau tindakan dah diambil, bersurai tetapi berkumpul balik. Ini perangai lama, budaya buruk bagi saya,” katanya dalam satu siaran media.
Tegas Syed Ibrahim, pelanggaran peraturan berkenaan tidak sewajarnya berlaku kerana Pakatan Harapan tidak diberi peluang melakukan hal yang sama. PH tidak merayu undi di kawasan pengundian.
“Saya tengok ada pondok panas PN, buka meja, depan sekolah pula. Ada kerusi duduk ramai ramai. Apa tujuan? Hari ini tidak boleh lagi rayu undi. Di sebelah sana ada pula tempat makan, katanya kantin sekolah. Tetapi ada bendera dacing.
“Saya bercakap kepada pegawai SPR bawa polis dan arahkan tutup semua itu. Semua mesti bertindak sekarang juga. Kalau tidak tak adil kepada parti lain yang bertanding. Jadi saya minta tegas dikuatkuasakan.
“Biarlah PRN ini adil, bebas dan telus,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau meminta pegawai SPR yang bertugas agar melaksanakan peraturan dengan betul dan jangan ‘kecut perut’ apabila menghadapi penyokong parti kerajaan.