Viral di media sosial beberapa pengundi dan individu yang bertanya kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengapakah pusat mengundi yang ditetapkan tutup pada pukul 6 tetapi ditutup seawal pukul 2.00 petang.
Dalam satu klip berdurasi 2 minit, seorang wanita India membantah penutupan pusat mengundi dengan tidak dimaklumkan dengan sempurna kepada pengundi.
Beliau berkata kepada pegawai SPR, terdapat beberapa orang pengundi datang untuk membuang undi tetapi tidak boleh melakukannya kerana pusat mengundi tutup awal.
“Ada tak sebab mengapa ia tutup pukul 2.00? Sebab mereka sudah datang ke sini. Mereka tak tau yang pusat mengundi tutup pukul 2.00. Bagaimana dengan hak mereka sebagai pengundi?
“Orang ramai tidak diberitahu pusat ini tutup pukul 2.00. Mereka datang seperti biasa. Mereka ada hak sebagai pengundi, mengapa tidak diberi peluang?
“Apa alasan? Ada beritahu pengundi tak? Tak pernah tulis pusat mengundi tutup pukul 2.00. Ada tak senarai sekolah yang akan tutup sebelum pukul 5,” katanya.
Bagaimanapun pegawai SPR di pusat mengundi tersebut kelihatan tidak memberikan penjelasan yang memuaskan menyebabkan wanita tersebut berkata terdapat pekerja yang akan keluar mengundi selepas selesai pekerjaan, dan pusat mengudi perlu dibuka untuk mereka.
“Ada orang kerja sampai pukul 3 petang. Mereka cuci pinggan, mereka tak ada telefon, tak tau.
“Bagaimana dengan hak mereka sebagai pengundi,” katanya.
Sementara itu, seorang pengundi dalam satu lagi klip video kesal kerana tidak dapat mengundi akibat pusat mengundi ditutup awal.
“Saya Juliza Mat Jani datang sini untuk mengundi tetapi tidak dibenar mengundi kerana dia kata sudah tutup pukul 2.00,” katanya.
Situasi tersebut dilaporkan berlaku di beberapa buah kampung. Alasan SPR kerana amat sedikit angka keluar mengundi sejak pagi tadi.
Terdapat 3 pusat mengundi dilaporkan ditutup pada pukul 2.00 petang iaitu PDM Ladang Kempas, Ladang Getah Eldred Bekok dan Kampong Jawa Chaah.
Bagaimanapun, menurut calon KEADILAN DUN Layang Layang, Dr Maszlee Malik, di kawasan beliau juga berlaku hal yang sama.
Katanya, ada 3 pusat mengundi yang tutup awal dan pasukan peguam beliau sedang meneliti untuk membuat bantahan.
“Kejadian yang sama berlaku di tiga tempat mengundi dalam DUN Layang Layang. Peguam kami sedang menyediakan report polis dan akan membuat bantahan
“Minta calon dan wakil calon di tempat lain turut mengambil tindakan yang sama,” katanya dalam ciapan di media sosial.