Kebenaran mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 sebagaimana diumumkan kelmarin biar pun dialu alukan namun akan mengurangkan lagi jumlah simpanan para pencarum.
Bagi Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, meskipun kerajaan BN membenarkan pengeluaran selepas didesak oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disambut baik oleh pembangkang, namun nasib para pencarum perlu diambil kira selepas 4 kali pengeluaran KWSP.
“Kesan 3 kali pertama pengeluaran KWSP telah mengakibatkan hampir 50% daripada pencarum KWSP mempunyai baki simpanan tidak sampai RM10,000.
“Kebenaran mengeluarkan KWSP pada kali keempat oleh kerajaan tanpa merancang penyelesaian seawalnya adalah tidak bertanggungjawab dan bersifat populis semata-mata.
“Oleh itu, kerajaan digesa mempertimbangkan dasar baharu, iaitu melanjutkan usia persaraan kepada umur 65 seperti yang disyorkan oleh Bank Dunia,” katanya.
Menurut Loh, Bank Dunia sebelum ini telah mengeluarkan cadangan kepada negara negara yang bersesuaian agar melanjutkan usia pesaraan rakyat mereka ke umur 65 tahun
Cadangan itu, katanya, boleh meningkatkan simpanan KWSP pencarum dan secara tidak langsung meningkatkan KDNK 0.3% pada setiap tahun.
“Selain itu, kerajaan juga harus menggalakkan industri pekerjaan swasta dan awam mewujudkan perjawatan kerja sambilan untuk meningkatkan penglibatan para pekerja yang berusia ini,” katanya lagi.