Kekalahan pihak Kerajaan dalam sesi pengundian usul bertujuan melanjutkan kuatkuasa Seksyen 4 (5) Akta Sosma untuk selama 5 tahun lagi semalam terjadi kerana Ahli Parlimen Kerajaan yang berjumlah lebih 114 orang gagal hadir secukupnya di dalam dewan.
Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, kegagalan itu tidak boleh sama sekali ditolak ke bahu pihak Pembangkang yang enggan menyokong usul berkenaan.
Katanya, usul tersebut telah dibahaskan dengan baik oleh 16 orang Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, kemudian digulung oleh Menteri Dalam Negeri. Pihak Pembangkang meminta untuk Undi Belah Bahagi yang setiap seorang ahli dewan perlu ditanya pendirian masing masing
“Maka undi belah bahagi dijalankan. Sebelum itu loceng dibunyikan pertama kali selama 2 minit. Diikuti dengan penangguhan selama 10 minit. Dan loceng kali kedua selama 2 minit. Ini selaras dengan prosedur yang dipersetujui oleh dewan sebelum ini supaya Ahli-ahli Parlimen boleh hadir ke dewan untuk mengundi.
“Setelah loceng kedua selesai, maka semua pintu ditutup semasa undian dilakukan. Mereka yang tiba lewat terutama selepas undian sudah tentu tidak boleh lagi mengundi.
“Akhirnya keputusan ialah 86 tidak bersetuju dan 84 bersetuju, maka Usul oleh kerajaan ditolak.
“Ini satu tamparan hebat ke atas kerajaan kerana gagal mendapatkan majoriti mudah terhadap usul walaupun ia bukan usul kewangan dan tidak membawa kepada hilang kepercayaan kepada kerajaan,” katanya.
Walau bagaimanapun, tegas Syed Ibrahim, kegagalan tersebut tidak bermakna Akta SOSMA terbatal. Cuma tempoh 28 hari tahanan tanpa bicara akan luput pada 31 Julai 2022 yang akan terjejas.
Katanya, tidak harus ada hujah kononnya keselamatan terjejas atau pembangkang tidak hiraukan keselamatan kerana masih ada undang-undang lain yang boleh diguna pakai seperti kanun acara jenayah.
Selain itu, kata Syed Ibrahim lagi, tidak wajar pimpinan Umno mendakwa kerajaan sudah tidak terikat lagi dengan memorandum persefahaman (MoU) bersama Pakatan Harapan susulan kegagalan mendapatkan sokongan, kerana MoU hanya melibatkan usul usul penting kerajaan.
“Ini tidak benar sama sekali (MoU terbatal) kerana usul tersebut bukan dalam MoU dan tidak dirundingi atau dipersetujui secara bersama pada dasarnya, mengikut Fasal 3.3(b) MoU.
“Pada masa yang sama, peranan pembangkang sebagai suara semak dan imbang tetap boleh dilaksanakan meskipun ada MoU. Tujuan MoU pun amat jelas iaitu untuk memastikan manfaat rakyat dan negara secara bersama dalam keadaan krisis kesihatan serta ekonomi.
“Justeru, saya ingin mengingatkan pemimpin-pemimpin Umno untuk tidak menangguk di air yang keruh. Bersikap jujurlah dalam menerima kenyataan bahawa kamu berada bersama-sama dalam kerajaan tetapi telah gagal menyokong usul (dibawakan kerjaaan),” katanya lagi.