Pada awal tahun 2000 gaji permulaan profesional seperti arkitek, jurutera dan sebagainya di Malaysia sekitar RM1,500 – RM1,800 sebulan.
Setelah 20 tahun, gaji yang sama menanti graduan pada bulan pertama mereka bekerja.
Hal ini menurut Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, adalah realiti perit yang terpaksa dihadapi anak anak muda terutama menghadapi impak kenaikan kos kehidupan.
“Ada yang belajar arkitek, belajar lama hingga 5 tahun. Ada yang belajar arkitek tetapi minta kerja bukan arkitek. Kita tanya kenapa belajar susah payah kenapa tiba tiba tak jadi arkitek?
“Saya diberitahu di Malaysia gaji (permulaan) arkitek RM1,500 sebulan. Gaji jurutera awam RM1,800 sebulan. Kalau kerja syarikat besar sebagai jurutera dapat gaji RM2,400 sudah dikira hebat. Ini masalah sebenar negara kita.
“Macam mana selepas 20 tahun, tukar PM 3 – 4 kali kita boleh biarkan anak muda keluar universiti lebih baik jual burger?
“Bayangkan kalau generasi ini kalau mereka ada anak kelak, mereka fikir aku dulu belajar, tanggung hutang akhirnya jadi pemandu grab kerana itu lebih baik daripada jadi jurutera.
“Maka kita melahirkan satu generasi yang tidak yakin dengan pendidikan. Dia akan kata tak payahlah belajar…… Kita ada pimpinan yang tidak peduli dan tak tahu pun gaji orang RM1,500 sebulan,” katanya ketika melancarkan kempen Ayuh Malaysia bagi gerak kerja menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.
Menurut Rafizi lagi, kenaikan gaji hanya boleh dilakukan sekiranya keadaan ekonomi mengizinkan.
Dengan ekonomi yang hampir statik, tegasnya, tidak mungkin majikan boleh dipaksa menaikkan gaji lebih tinggi.
“Kita kena pastikan ekonomi ini ditahap nilai tambah yang jauh lebih baik kerana nak paksa majikan bayar tak boleh juga. Kalau nak paksa dan dia tidak ada perolehan atau hasil cukup, dia tutup kedai.
“Mesti ada koordinasi yang menyeluruh untuk perbaiki ekonomi. Masalahnya Menteri Ekonomi yang kita ada, Menteri Industri nama dia Azmin Ali. Tak ke manalah kita.
“Sebab itu melalui platform Ayuh Malaysia ini kita nak bercakap dengan semua rakyat Malaysia (menerangkan isu sebenar),” katanya.
Rafizi juga menekankan mengenai perlunya mengeluarkan rakyat seramai mungkin untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke 15 .
Beliau, katanya, melalui aplikasi Ayuh Malaysia akan menyediakan isi kandungan pelbagai hujah yang boleh dimuat turun dan dikongsikan kepada rakyat Malaysia melalui media sosial.
Jika rakyat tidak peduli sebagaimana sekarang, maka yang akan menguasai negara adalah pimpinan Umno yang akan membawa negara ke arah lebih membinasakan.
“Memang kadang kadang pengudi kecewa dan ahli politik pun kecewa. Tetapi kesannya apabila rakyat biasa yang sepatutnya keluar mengundi, yang sepatutnya mendesak ahli politik menjadi lebih baik tidak mengundi maka keputusan politik itu ada kesan kepada anak cucu.
“Kalau semua fikir negatif maka kita tinggalkan negara kepada macai Umno, yang mengundi mereka, yang dapat projek pun mereka. Yang kaya menteri menteri dia,” katanya.
Justeru, mantan Ahli Parlimen Pandan itu menyarankan agar anak muda menekan kerajaan untuk memperbaiki negara.
Tanpa tekanan dari seluruh rakyat maka ahli politik tidak akan melakukan apa apa kerana isu isu rakyat tidak memberi banyak keuntungan kepada mereka jika diusahakan penyelesaiannya.
“Yang muda kamu kena dengar dan bercakap mengenai ini. Kalau ini tidak menjadi tekanan kebangsaan, tidak diulang berkali kali, tiada apa akan berlaku.
“Kita boleh mula bercakap, biar tekanan datang dari rakyat di bawah. Kita paksa menteri ini menjawab kenapa kamu tak buat. Bila diulang dia jadi agenda nasional,” katanya.
Manakala matlamat akhir, kata Rafizi, adalah bagi memastikan 70% rakyat keluar mengundi dalam PRU 15.
Dengan jumlah tersebut sama ada BN tidak akan menang besar 2/3 majoriti atau pun mereka langsung tidak menang pilihan raya.
Rafizi juga dalam ceramah malam tadi melancarkan tabung kutipan yang boleh disumbang secara atas talian dengan pergi ke Ayuh Malaysia.org. Katanya dalam PRU 14 lalu rakyat telah menyumbang RM8 juta yang digunakan sebagai kos kempen elektronik dan fizikal pilihan raya. Sekiranya dalam beberapa bulan ke hadapan jumlah yang hampir sama diperolehi beliau optimis pembangkang berpotensi mengulangi kejayaan PRU 2018.