Kementerian Kesihatan Malaysia tidak cukup hanya menafikan bahawa data peribadi rakyat Malaysia yang terkumpul pada aplikasi MySejahtera selamat dan tidak akan jatuh ke tangan pihak ketiga.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, suatu siasatan bebas seharusnya dijalankan untuk mengetahui apakah benar aplikasi tersebut tidak mempunyai tahap keselamatan yang tinggi memandangkan banyak pihak yang tertanya tanya mengenai cara operasi dan senggaraannya.
Kata Shamsul, rakyat tidak mahu data peribadi mereka akhirnya digunakan untuk tujuan komersial atau yang mendatangkan mudarat.
“MySejahtera bukan sahaja memiliki informasi peribadi kita, tapi juga lokasi yang ditujui, di mana boleh disalahgunakan jika jatuh ke tangan pihak pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Justeru itu, pihak kerajaan harus lebih peka dalam isu isu yang melibatkan keselamatan data orang awam,” katanya dalam catatan di Facebook.
Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi, rakyat sebelum ini hairan bagaimanakah syarikat perjudian dan atau penipu atas talian (scammer) mendapat nombor telefon mereka, dan sesetengahnya mengetahui beberapa butir maklumat peribadi.
“Pernahkah dapat sms atau whatsapp rawak dari syarikat perjudian, pinjaman wang berlesen hingga ke perniagaan harian? Adakah ianya menganggu perhatian dan timbul persoalan di mana mereka dapat nombor peribadi anda?
“Masalah seperti inilah yang ingin kita elakkan di mana data peribadi kita tidak lagi sulit serta boleh digunakan individu individu lain untuk meraih keuntungun dan mungkin, hingga terjadinya penipuan atas talian,” katanya lagi.
Kelmarin timbul isu Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) yang membangkitkan persoalan tentang penjualan aplikasi pengesanan Covid-19 kepada sebuah syarikat swasta.
Keputusan kerajaan untuk ‘penyerahan’ itu telah diputuskan oleh kabinet pada tanggal 26 November 2021. Kebenaran telah diberikan oleh kabinet kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik MySJ Sdn. Bhd. melalui mekanisme runding terus untuk mengambilalih aplikasi MySejahtera.
Pengambilalihan itu dibimbangi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membahayakan data peribadi dalam MySejahtera.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mengeluarkan kenyataan aplikasi MySejahtera di bawah kawalan mereka dan tidak dijual ke mana mana syarikat.