Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang semakin hampir dan prestasi KEADILAN yang kurang memberansangkan dalam 2 siri Pilihan Raya Negeri (PRN) merupakan kebimbangan utama menyebabkan Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli kembali ke arena politik selepas bercuti panjang.
Hal itu dijelaskan beliau dalam wawancara bersama Astro Awani, malam tadi.
“Isunya bagaimana kita ingin perkukuhkan KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) untuk masuk PRU akan datang dengan lebih berkeyakinan selepas tewas 4 PRN.
“Dari banyak dapatan, kita tengok 2 – 3 tahun kebelakangan ini pengundi Atas Pagar terpisah dengan diskusi politik negara. Sebabnya melihat gabungan politik yang ada lebih kepada mahu berkuasa dan tidak sangat pergi ke soal isu kehidupan harian yang dihadapi rakyat
“Dari segi itu saya dan sahabat dapat membantu membawa kembali diskusi politik negara ke arah PRU akan datang supaya boleh kembali semula ke soal ekonomi, anak muda, pekerjaan dan sebagainya,” katanya.
Bagaimanapun mengenai soalan provokatif mengapakah Naib Presden KEADILAN itu tidak terus bertanding jawatan presiden untuk lebih mudah membuat perubahyan, Rafizi menegaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan calon terbaik sebagai Perdana Menteri untuk rakyat yang tidak menyukai BN dan PN. Jadi beliau perlu kekal sebagai Presiden KEADILAN dan Pengerusi PH.
“Bagi saya cukup jelas bahawa satu satunya calon PM yang berkebolehan untuk menarik minat pengundi yang tidak bersetuju dengan BN atau PN adalah Datuk Seri Anwar,” katanya.
Justeru, kata Rafizi, fokus beliau bersama pasukannya ketika ini adalah untuk mengembalikan minat pengundi Atas Pagar keluar mengundi pada PRU 15.
Atas sebab itu juga, katanya, beliau melancarkan Ayuh Malaysia untuk mengembeleng sukarelawan dan membangkitkan semangat seluruh negara mengambil bahagian dalam politik.
“PRN lepas pengundi Atas Pagar mengalami kelesuan politik. Sokongan utama kepada KEADILAN selama ini adalah Atas Pagar dan sebahagian besar mereka merupakan pengundi lebih muda, umur 40 tahun ke bawah
“Mereka sudah tentu minat pimpinan yang melalui kehidupan yang sama seperti mereka. Pimpinan yang kita bersetuju untuk menggerakkan Ayuh Malaysia ini adalah pimpinan akar umbi yang memang sudah pun menjalankan beberapa perkara dengan penduduk setempat.
“Contoh YB Lih kang memang sedang usahakan ladang vanila. Yang tanam, jual di China dan dapat menjana pendapatan di kalangan anak muda. Kita pilih mereka yang ada pengalaman yang membuktikan beberapa perkara yang ditonjolkan,” katanya.
Ditanya sama ada kekurangan undi yang diterima PH dalam 3 siri PRN baru baru ini menunjukkan rakyat semakin muak kepada kepimpinan PH yang mengekalkan muka sama sejak puluhan tahun, Rafizi menganggap analisis itu tidak tepat kerana pengundi Atas Pagar yang biasa mengundi PH kurang berminat dengan politik.
“Isu dia lebih kepada rentetan yang berlaku sejak 2018, bukan soal individu. Melihat data pengundi Atas Pagar sebahagian besar mereka tak minat politik, mereka minta penyelesaian. Sejak 2018 apabila PH ambil alih kuasa banyak pertembungan antara parti.
“Bersatu kukuh keadaan dia, campurtangan soal politik KEADILAN, cuba menidakkan peralihan kuasa. Rakyat melihat: ‘Kami beri kamu mandat dan kini kamu fokus masalah kamu’.
“Rakyat akhirnya rasa selepas 4 tahun politik bukan soal rakyat tetapi berapa kerat yang menang (berebut) mereka jadi menteri. Masuk gabungan mana pun keadaan sama. Jadi mereka kata lebih baik tak payah mengundi,” katanya lagi.
Rafizi juga tidak bersetuju untuk dilakukan sebarang rundingan pakatan pilihan raya sebelum PRU terutama untuk politik Sabah dan Sarawak.
Kata beliau, pada PRU 14 lalu PH mampu membentuk kerajaan malah tanpa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak sekali pun. Namun sekiranya prestasi PH baik, kata Rafizi, maka hal itu akan memudahkan perundingan selepas PRU bagi menguatkan kedudukan PH.