Pihak yang menganggap perjuangan KEADILAN telah tiba ke penghujung dengan menghujahkan kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor telah terkeliru dalam penelitian mereka.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, KEADILAN yang bermula dari kosong dan bangkit menjadi parti terbesar di Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu hanya memerlukan penyesuaian strategi sebelum kembali semual menjadi parti arus perdana.
Katanya, tidak mustahil KEADILAN akan membuat kejutan dalam PRU ke 15 dengan menguasai beberapa negeri.
“Kita bermula dengan tak ada apa apa. PRU 2004 kerusi tinggal 1 tetapi kita bangun pada 2008, nafikan 2/3 majoriti BN. PRU 2013 kali pertama BN tak dapat lebih 50% undi popular dan pada PRU 14 kita tumbangkan BN.
“Kali ini kita harus sebutkan (memasuki pemilihan parti), dalam keadaan kita nak tawar kepimpinan, segarkan parti, janganlah nafikan kerja orang lain.
“Jangan burukkan kerja orang lain. Kemukakan hujah dan pandangan. Ianilah cara positif dan bawa kemenangan.
“Kita bangun dalam proses evolusi, bangun dari tapak ke tapak,” kata Amirudin ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita dan AMK Kelantan, pagi tadi.
Menteri Besar Selangor itu menambah, Pemilihan KEADILAN 2022 biar pun menghampiri musim pilihan raya dan berisiko berlakunya perpecahan dalaman, namun hanya itulah satu satunya cara untuk parti kembali diyakini rakyat.
Beliau meminta anggota KEADILAN melihat sekilas kepada sejarah Umno yang hilang semangat setelah tewas dalam PRU 14, parti itu melakukan pemilihan, setelah dilantik kepimpinan baharu maka parti itu segar semula dan berjaya merampas kedudukan Perdana Menteri Malaysia.
“Saya ada sebut keadaan kita mirip dengan lawan kita yang kalah dalam PRU 2018. Ada satu PRN di Selangor, parti yang guna lambang dacing tak mahu guna lambang itu, MCA dalam Pilihan Raya Kecil ketika itu guna lambang sendiri. Calon DUN Seri Setia Umno (ketakutan) suruh calon Pas, Dr Halimah Ali bertanding.
“Namun Umno kembali bangkit selepas selesai proses pemilihan dan jelas kepimpinan mereka.
“Ramai orang skeptikal Presiden Umno (Zahid Hamidi) berbanding yang lain. Tetapi kerana ada kepimpinan yang jelas, hari ini sebelum PRU 15 pun Umno dan BN telah kembali jadi PM.
“Saya sebut bukan suruh sertai Umno, maksud saya kalau ada kepimpinan yang jelas kita akan maju ke depan. Maka jadikan pemilihan ini sebagai landasan yang jelas menuju PRU.
“Bukan jadikan pemilihan untuk rombak parti, nak tuju menang di masa depan. Sebaliknya gagal nak tentukan bila kita nak kukuhkan parti, bila nak PRU,” katanya.
Selain itu, Amiruddin juga memberi amaran kepada arus dalaman yang mencuba mewujudkan pendapat untuk membawa KEADILAN bergerak sendirian dalam pilihan raya.
Katanya, hal itu merupakan langkah bunuh diri. Dengan gabungan bersama Amanah dan DAP pun kalah kebelakangan ini, apatah lagi bergerak sendirian.
“Lepas PRN Melaka dan Johor kita tidak boleh bergerak sendirian. Kita kena mengumpulkan patner dan sahabat.
“1999 kita ada Barisan Alternatif, KEADILAN jadi gam kepada parti lain. Kita berasama Pas dan DAP.
“Berpecah dengan Pas cari patner baru. Kita himpunkan satu yang mustahil. Pertembungan 20 tahun tokoh besar tetapi kemudian jadi permuafakatan besar pada 2018. Formulanya kita kena berpadu. Kalau kita lemah kita cari kawan.
“Nak gerak sendri tak akan mampu kerana sejak merdeka sampai hari ini koalisi lah yang menentukan menang atau kalah dalam PRU.
Paling tidak ada electoral pact menjelang PRU. Kalau nak bawa sorang sorang ke bulan realitinya kita tidak boleh. Kita kena cari koalisi,” katanya lagi.