Seandainya trend pengundian yang dilihat pada Pilihan Raya Negeri Melaka, Sarawak dan Johor kekal, yang mana pengundi Atas Pagar enggan keluar membuang undi maka mungkin satu penjajaran baharu politik harus berlaku.
Hal itu diutarakan oleh Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam program bual bicara terbitan Bernama TV yang dimoderatorkan oleh Sherkawi Jirim, malam mtadi.
Dalam forum bersama Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad itu, Shamsul berkata, mungkin tiba masanya untuk diteroka kerjasama gabungan politik yang boleh menghasilkan satu lawan satu antara BN dan para pencabarnya dalam Pilihan Raya Umum ke 15.
“Saya singgung sikit Pas. Ada pepatah menyatakan ‘hidung tak mancung, pipi tersorong sorong’.
“Pada saya kalau katakan dah kena hentam dalam Perhimpunan Agung (Umno) itu, maka kita baliklah ke drawing board, betulkan balik keadaan.
“Saya setuju mungkin perlu kita explore satu lawan satu, penjajaran baru parti dalam negara kita. Kalau kita setuju pada prinsip, mengapa tidak kita mulakan perbincangan yang lebih dinamik, lebih progresif untuk masa depan rakyat dan negara dengan memperbetulkan institusi politik supaya ia lebih baik daripada yang lalu,” katanya.
Cadangan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu disambut positif oleh Kamaruzaman.
Katanya, dalam politik semua kemungkinan boleh terjadi berdasarkan strategi semasa dan figh keutamaan.
“Politik bukan benda statik, tetapi dinamik dan memerlukan pertimbangan demi pertimbangan.
“Politik tak sesuai dengan (pemimpin) hati tisu. Ahli politik kena tegas, cool dan memikirkan pertimbangan masa hadapan. Pas parti lama bukan baru. Kami banyak dikhianati kerana prinsip yang kami bawa. Pengalaman itu perlu untuk kita meneroka lebih banyak penambahbaikan,” katanya.
Bagi beliau Pas terbuka untuk kerjasama asalkan berlandaskan perlembagaan parti dan membolehkan syiar Islam ditingkatkan.