Pemilihan KEADILAN 2022 diharap akan berjalan dengan lancar dan tenang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pusat, Dr Zaliha Mustafa, ketenangan sewaktu penamaan calon diharap akan terus bertahan sehingga berakhirnya pemilihan.
“Apa pun saya nampak tidak banyak alami masalah, tenang. Koordinator negeri sebut tadi sebab hari ini cuti maka orang lebih ramai datang (ke pusat pencalonan) dan meminta bantuan secara langsung.
“Kita minta kalau ada masalah boleh hubungi hotline,” katanya ketika meninjau pusat penamaan calon KEADILAN Selangor di Petang Jaya, siang tadi.
Katanya, isu yang banyak terjadi setakat ini ialah verifikasi keanggotaan. Sebab sesiapa yang ingin bertanding sama ada calon, pencadang mahupun penyokong perlu mendaftar dalam aplikasi ADIL bagi tujuan rekod data.
“Syarat kita ialah kalau nak jadi calon perlu verifikasi, ada yang lepas tetapi sangkut di akhirnya. Bila kita tengok rupanya dia punya penyokong atau pencadang belum buat verifikasi.
“Kita jangka benda itu akan terjadi dan siapkan solusi. Di ibu pejabat juga kita buka kaunter mana mana yang belum verifikasi boleh pergi ke sana.
“Verifikasi ini penting bagi keanggotaan parti. Zaman dulu era reformasi, banyak kena kacau ganggu siapa masuk KEADILAN, tetapi mereka nak bersama jadi ahli. Jadi ada bagi kad pengenalan tak lengkap, maklumat tak lengkap, masa itu kita juga tak ambil gambar muka,” katanya.
Mengenai sistem atau aplikasi ADIL yang akan digunakan untuk mengundi nanti, Dr Zaliha memberi jaminan ianya selamat dan semua data tidak boleh dibocorkan
Beliau juga mengingatkan jika ada anggota yang ‘nakal’ dan mencuba mengundi dua kali atau sebagainya, maka tidak perlu mencuba kerana sistem mustahil boleh ditembusi.
Berkenaan kempen pula, Dr Zaliha mengingatkan calon calon agar mengikut tataetika kempen. Katanya, parti tidak mahu pemilihan kali ini menyebabkan perpecahan kerana Pilihan Raya Umum ke 15 mungkin hanya beberapa bulan lagi.
“Kita tengok tataetika kempen yang lepas, saya minta kumpulan legal meneliti dan menambah baik tataetika kempen.
“Tujuan supaya kempen menjadi adil untuk semua calon. Berkempen cara sihat jangan ada kutuk mengutuk, buka aib.
“Kita mahu kempen yang matang, kalau dia pergi jumpa ahli tak ada yang bergaduh.
“Saya juga dapat aduan sebelum 8 April ada yang mula berkempen dan dibawa ke Lembaga Disiplin dan sebagainya. Namun selepas ini tanggungjawab JPP pantau kempen. Kita mahu pemilihan kali ini cantik
“Satu lagi benda kita perkenalkan, calon tidak boleh berkempen pada 12 malam sebelum pemilihan.
“Hal ini supaya suasana mengundi tenang, tak ada kacau,” katanya lagi.