Pengakuan kesemua saksi dalam perbicaraan terhadap Roger Ng di Mahkamah Daerah New York Timur akan kewujudan korupsi dalam urusniaga kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menafikan kenyataan pegawai pegawai tinggi Malaysia sebelum ini bahawa skandal tersebut tidak wujud.
Bagi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datu Seri Anwar Ibrahim, skandal kewangan yang begitu besar tentu sekali tidak boleh berlaku tanpa melepasi pemerhatian pegawai pegawai kewangan di negara ini.
“Pengakuan bersumpah oleh saksi-saksi secara menyeluruh (dalam perbicaraan) menghapus dakwaan oleh pegawai-pegawai kerajaan Malaysia bahawa tidak ada apa-apa yang berlaku di Terengganu Investment Authority, dan kemudian 1MDB.
“Malah, gejala rasuah telah mula mengakar sejak hari pertama, dan berlanjutan terus kerana sistem yang ada terlalu rosak dan bobrok. Setiap sosok yang cuba untuk menghentikan kegilaan ini dari berlaku hampir pasti menemui kegagalan.
“Sebagai mantan Menteri Kewangan, saya yakin jumlah dana yang sebegitu besar dengan potensi risiko yang begitu besar terhadap kewangan negara tidak akan boleh melepasi pengawasan dan penelitian negara tanpa tangan dan peranan pegawai-pegawai kanan kerajaan. Rakyat Malaysia berhak marah dan sangat kesal dengan watak-watak yang punya kuasa yang mampu untuk menghentikan rompakan ini dari berlaku. Namun, ternyata mereka bungkam dan membenarkan ia berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Pakatan Harapan itu sebaliknya memuji tindakan penguatkuasa undang undang di Amerika Syarikat yang tidak mengenakan sebarang layanan VIP kepada tertuduh sepanjang perbicaraan atau selepas dijatuhkan hukuman
Katanya, hal itu berbeza dengan layanan diberi kepada tokoh politik Malaysia yang disabit bersalah dalam skandal kewangan.
“Pihak defendan tidak dikurniakan layanan VIP dari pihak mahkamah untuk mengurus hal peribadi, mahupun diberikan akses kepada pasport untuk ke mana-mana tempat yang bukan mustahak. Selalunya untuk bermain golf.
“Di Malaysia, seorang tokoh VIP yang juga seorang defendan mendapat layanan yang cukup istimewa dari mahkamah. Maknanya, ada dua jenis peraturan di Malaysia – untuk yang kaya begini, dan orang lain begini,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson tersebut juga menanyakan apakah kemajuan siasatan di Malaysia berkenaan dalang utama yang mengatur skandal kewangan 1MDB, Jho Low, kerana sehingga hari ini sosok itu masih tidak berjaya ditahan dan dibawa ke muka pengadilan.
“Terdapat banyak jaminan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa Jho Low dan gerombolannya akan diberkas. Namun, sehingga kini ia belum terhasil.
“Watak-watak ini bergerak bebas di Malaysia bertahun-tahun sehinggalah beberapa hari sebelum pilihan raya umum yang lepas. Berapa banyak peluang telah terlepas untuk mengheret para konspirator ‘scam’ ini ke muka pengadilan? Saya tidak akan berdiam diri selagimana mereka ini tidak muncul di mahkamah Malaysia,” ujarnya.
Anwar juga mengkritik penyelesaian kerajaan Malaysia dan firma kewangan yang menaturkan skandal berkenaan Goldman Sachs sebelum ini yang disifatkannya pra matang
Bagi Anwar, penyelesaian yang menyeluruh perlu didapatkan kerana kerosakan akibat skandal itu amat besar.
“Seorang pegawai dari Goldman Sachs telah disabitkan dengan jenayah dalam skandal 1MDB. Untuk menyebut bahawa keadilan telah ditegakkan sangat tidak jujur.
“Kenyataan para saksi sepanjang perbicaraan hanya mengungkapkan kesalahan dan peranan banyak orang. Pegawai-pegawai kanan Goldman Sachs yang terlibat dengan skandal 1MDB tidak boleh melepaskan diri dari kelalaian mereka serta kerosakan dan kerugian yang diakibatkan kepada Malaysia.
“Atas keterlibatan yang jelas Goldman Sachs dalam ‘scam’ ini, saya ulang pendirian saya bahawa penyelesaian yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs pada tahun 2020 adalah pramatang dan gagal untuk mengambilkira tahap kerugian yang sedang dan akan terus ditanggung rakyat Malaysia.
“Sekalung penghargaan kepada pihak pendakwaan di Eastern District New York atas usaha dan upaya mereka dalam mengheret salah seorang dalang skandal 1MDB ini,” katanya lagi.
Tegas Anwar, selepas ini tibalah masanya keadilan dikembalikan kepada rakyat Malaysia.