Keputusan pertama Pemilihan KEADILAN 2022 diketahui semalam iaitu kekalnya kedudukan presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disyitihar menang tanpa bertanding selepas proses pencalonan selesai.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataannya hari ini mengutus tahniah kepada Anwar kerana mengekalkan kedudukan sebagai ketua parti untuk penggal kedua.
“Mengulangi sejarah Pemilihan KEADILAN 2018, Saudara Anwar sekali lagi menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini. Ini adalah penghormatan terbesar daripada akar umbi KEADILAN.
“Saya dengan penuh takzim mengucapkan tahniah kepada Saudara Anwar Ibrahim,” katanya.
Saifuddin yang merupakan calon timbalan presiden mengharapkan agar parti akan lebih mantap selepas ini.
Beliau dicabar oleh Rafizi Ramli yang mendaftarkan diri semalam.
Berbeza dengan pencalonan sebelum ini, banyak calon mendaftarkan diri melalui aplikasi ADIL dan tidak mendapat sorotan media yang menunggu sejak awal pagi di Ibu Pejabat KEADILAN, di Petaling Jaya.
Bagaimanapun, menarik perhatian kali ini adalah jawatan Naib Presiden yang ditandingi 17 penjuru dan merupakan yang terbesar dari segi pencalonan sepanjang sejarah KEADILAN. Termasuk fakta menarik disertai dua menteri besar iaitu Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Begitu juga peringkat wanita KEADILAN yang menyaksikan persaingan sengit dan jumlah calon yang banyak. Cuma yang mengekalkan tradisi sejak sedekad lalu adalah pemilihan peringkat Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia yang mana calon calon membentuk aliansi dan terdapat hanya dua aliansi pada kali ini, iaitu diketuai calon Ketua AMK Fahmi Zainol dan Adam Adli dengan gelaran pasukan Seangkatan.