Pertandingan merebut jawatan Naib Presiden KEADILAN yang diumumkan media berdepan saingan 17 penjuru pada petang semalam dimeriahkan lagi dengan pencalonan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada malam tadi.
Menurut sumber rapat dengan beliau, pencalonan Shamsul dibuat pada pukul 11.45 malam dan beliau merupakan calon yang terakhir mendaftar.
Dengan pencalonan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya yang juga merupakan calon naib presiden dalam Pemilihan KEADILAN 2018 lalu, maka persaingan kini menjadi 18 penjuru dan mencipta rekod tersendiri bagi posisi berkenaan.
Calon calon lain yang bertanding ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; mantan Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; bekas Pengerusi MPN Perak, Farhash Wafa Salvador; Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid
Selain itu Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chah Lih Kang; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai; ADUN Hutan Melintang, G Manivannan; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; bekas timbalan Pengerusi MPN Perak, M A Tinagaran, ADUN Sentosa, Gunaraj George; bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail; bekas Naib Presiden KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub; bekas naib ketua Pemuda KEADILAN, S Thiban; ADUN Chuah, Yek Diew Ching dan ADUN Bukit Selambau, R Summugam juga ikut bertanding.
Calon calon bagaimanapun akan melalui proses Bantahan pada 13 – 14 April, keputusan bantahan 16 April, proses Rayuan 17 – 19 April dan paparan Senarai Akhir Calon pada 20 April ini.