Kenyataan mantan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa agar calon-calon pemilihan parti kali ini menyatakan hala tuju parti dikritik mantan Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Syed Badli Shah Syed Osman sebagai tidak menepati konsep kerja secara berpasukan.
Katanya, Fasal 1.2 Perlembagaan KEADILAN secara jelas menyatakan bahawa Kongres Nasional adalah badan tertinggi dalam parti, dengan kuasa untuk menentukan perjalanan dan arah tuju parti.
“Ini bermaksud hala tuju parti perlu diputus secara berjemaah dalam adab kerja berpasukan oleh badan tertinggi dalam parti iaitu Kongres Nasional.
“Di sinilah peri pentingnya peranan setiap pimpinan untuk menyumbang tenaga dan idea demi memantapkan agenda perjuangan parti secara bersama,” katanya.
Tambah Syed Badli Shah, gerak kerja parti yang sempurna harus dilaksanakan secara keputusan bersama untuk mendapatkan kesepakatan kesemua pihak dan bukan hanya idea kelompok tertentu sahaja.
“Sesungguhnya organisasi parti tidak boleh dipacu dengan agenda peribadi mahupun cara kerja segelintir mereka yang tidak memahami konsep kerja secara berjemaah.
“Justeru itu saya mencadangkan kepada Rafizi untuk kembali menginsafi nilai teras pemahaman kerja secara berpasukan dalam adab berorganisasi,” katanya lagi.