Gabungan Reformis Malaysia (GRM) yang bernaung 10 NGO pro reformasi di bawahnya menghantar calon tunggal, iaitu koordinator GRM untuk bertanding posisi naib presiden dalam Pemilihan KEADILAN 2022.
Calon berkenaan Mustaffa Kamil Ayub diharap mampu menggembeleng jalur pemikiran generasi awal reformasi 1998 dan anak muda bagi memantapkan perjuangan parti.
Menurut Mustaffa, visi beliau ketika ini adalah untuk membantu Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkuat KEADILAN menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang dijangka beberapa bulan akan datang.
“Saya akan berusaha memantapkan ideologi perjuangan KEADILAN berasaskan konsep masyarakat madani dan Deklarasi Permatang Pauh 1998 melalui semaraknya program latihan, medsos dan seumpamanya,” kata Mustaffa dalam satu kenyataan.
Mantan Naib Pesiden KEADILAN pada era parti menempuh laluan sukar selepas tewas pada PRU 2004 ini juga mengharapkan generasi baharu parti mempunyai budaya politik nilai yang akan menjadi daya tarik masyarakat untuk mengundi Pakatan Harapan sebagai pemerintah.
“Kita perlu menyemarakkan penyatuan anggota KEADILAN dengan penghayatan politik nilai, kepemimpinan berhikmah dan budaya itqan.
“Juga mengembleng gandingan reformis awal dan baharu dalam 3 dekad perjuangan bagi mewujudkan pasukan yang mantap merealisasikan Agenda Reformasi Malaysia
“Saya bertekad membantu KEADILAN bagi kemenangan PRU15 dengan menggerakkan Pelan Tindakan Strategik yang telah dimajukan atas nama Menjana Kemenangan PRU 15 (MK 15),” katanya.
Mantan Pengarah Strategi KEADILAN yang merancang gerak kerja parti menjelang PRU 2008 itu juga tidak lupa kepada generasi muda, dan parti katanya, harusnya menggunakan pendekatan baharu bagi menadapatkan undi mereka.
“Bagi generasi muda kita perlu startegi untuk meyakinkan mereka. Iaitu dengan menyusun semula ekonomi, menyusun semula sektor pekerjaan, merombak struktur pendidikan berasaskan Revolusi Industri 4.0, memperkenalkan harga lantai komoditi utama serta fokus R&D, dan pemberian subsidi makanan ruji rakyat,” katanya lagi.
Mantan Setiausaha Agung KEADILAN ini dalam pencalonan lalu mendapat nombor 10 daripada 18 calon bertanding.