Jumlah pencalonan yang tinggi sehingga 10,000 calon yang memohon bertanding di peringkat cabang dalam Pemilihan KEADILAN 2022 menunjukkan keterujaan politik telah kembali.
Bagi mantan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Ismail Yusop, hal itu jelas memaparkan kesedaran politik yang tinggi selepas kekalahan KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) dalam 3 siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
“Selepas Langkah Sheraton dan kejatuhan kerajaan PH berlakunya kelelahan politik. Tetapi ternyata dalam proses pemilihan kali ini nampaknya meriah dengan penglibatan ramai.
“Kesedaran politik, khususnya dalam anggota parti nampak tinggi. Kita harap ianya akan diterjemahkan dalam kepimpinan parti sebagai pasukan mantap Datuk Seri Anwar menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 15,” katanya.
Menurut Ismail yang lebih mesra digelar Tok Abah, keterujaan politik adalah sesuatu yang presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu diwujudkan menjelang PRU 15 bagi menjana momentum sokongan rakyat.
Di samping itu, katanya, pemilihan juga akan membariskan di hadapan mata rakyat siapakah pasukan Anwar yang bakal memimpin negara.
“Datuk Seri Anwar melihat keperluan sebelum PRU (diadakan pemilihan KEADILAN). Ini bukan sesuatu yang mudah.
“Saya percaya kebijaksanaan Datuk Seri Anwar dalam mengutarakan pandangan, dan diterima kepimpinan parti supaya pemilihan di peringkat cabang dan pusat disegerakan.
“Apakah faktor perlu disegera? Ini terkait selepas pengkhianatan Langkah Sheraton. Juga setiap kali PRN kita lihat Anwar menjadi sasaran kritikan kerana dalam semua PRN PH kalah. Persepsi di luar dan dalam parti melihat bahawa ini terkait soal kepimpinan. Tetapi ramai yang terlepas pandang, kerana semua pilihan raya Anwar berjalan bersendirian, di mana pasukan Anwar?
“Persepsi pengundi melihat ada isu kepimpinan yang perlu diselesaikan. Latar belakang inilah yang memerlukan pemilihan diadakan. Iaitu mahu memastikan sebelum PRU 15 pasukan KEADILAN di bawah satu payung. Pasukan Anwar dan tidak ada lagi team Invoke, kartel, baju hitam atau lain lain,” katanya.
Sehubungan itu, Pengarah Eksekutif Institust Darul Ehsan itu mencadangkan agar anggota KEADILAN dalam pemilihan kali ini memilih para pemimpin yang sedia bersama Datuk Seri Anwar, sama ada ketika susah atau senang sebagai pimpinan parti.
“Perkara paling penting ialah mereka yang diangkat membuktikan kesetiaan bersama Anwar sama ada susah atau senang, menganbil tanggungjawab supaya parti ini boleh memainkan peranan utama dalam landskap politik negara.
“Saya yakin anggota seluruh negara mendapat mesej yang jelas bila memutuskan pemilihan ini diadakan,” katanya lagi.