Kepimpinan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih amat diperlukan untuk parti dan negara Malaysia.
Hal itu ditegaskan oleh calon Ketua Wanita KEADILAN pusat, Senator Fadhlina Sidek dalam forum maya dialektika bertajuk “Politikopi: Survival Legasi Anwar”, malam tadi.
Katanya, Anwar merupakan negarawan besar dan tidak mampu ditandingi rekod beliau di dalam negeri mahu pun peringkat antarabangsa oleh mana mana tokoh politik kerajaan pada masa ini.
“Perlu kita iktiraf dengan penuh signifikan kehadiran beliau di Malaysia dan peringkat antarabangsa. Anwar antara rekod terbaik daripada Malaysia, juga rekod beliau sebagai Menteri Kewangan terbaik.
“Saya fikir hari ini belum ada lagi pemimpin Malaysia yang mempunyai rekod hubugan baik dengan pemimpin dunia lain seperti beliau, dan memberikan kesan besar kepada negara
“Sebagai orang mendukung aspirasi beliau, saya fikir beliau masih relevan ketika ini berbanding tokoh lain.
“Kita kena lihat pelbagai dimensi mengapa Anwar masih diperlukan. Aspirasi, ketokohan dan juga penakulan yang luar biasa ini hanya boleh dibuat oleh beliau. Dan tentunya KEADILAN masih memerlukan Anwar,” katanya.
Menyentuh soalan moderator, apakah KEADILAN dan prisip asas perjuangannya sejak 1998 masih relevan serta berkesan di hati para anggota, Fadhlina berkata, biar pun terdapat jurang generasi antara anggota generasi muda hari ini dan pengasas parti, namun idealisme tetap kekal diperjuangkan.
“KEADILAN muncul dengan asas yang cukup besar (menentang rasuah) dan mempengaruhi cara kita melihat soal keadilan itu sendiri (dilaksanakan). Itu yang menyebabkan KEADILAN telus relevan (menentang politik bobrok).
“Juga Deklarasi Permatang Pauh bagaimana conviction kita iaitu apa yang kita nak pertahankan sebagai anggota KEADILAN. Ini menyangkut ayat al Quran “sedaya upayaa lakukan perubahan”.
“Oleh itu, saya fikir ia masih lagi menjadi kefahaman asas dan pengukuhan idealisme. Saya adalah generasi berbeza tetapi kalau lihat saya bercakap maka memperlihat kekuatan idealisme (reformasi) yang ada,” katanya.
Mengenai Pemilihan KEADILAN 2022 dan tradisi menetapkan cai pula, Fadhlina memilih untuk tidak menyertai mana mana cai
Bagi beliau budaya pemilihan kali ini sepatutnya berlainan kerana rakyat semakin terbuka dan memilih pertembungan idea dan kekuatan tawaran individu berbanding yang ditetapkan cai.
“Proses cai ini secara tradisinya telah wujud dalam parti. Tetapi beberapa rakan lain banyak menawarkan diri bersendirian.
“Real politik adalah cabaran kepada calon bersendirian. Mereka harus pergi dengan integriti yang ada, dengan sokongan akar umbi yang ada dan tawaran yang ada. Zaman ini adalah perlawanan idea, tawaran lebih baik.
“Kedua, cai ini sedikit sebanyak menumpulkan penglibatan pemimpin. Akar umbi perlu memilih pemimpin (terbaik) pilihan mereka. Datang dengan cai saya fikir akar umbi sebahagian daripada mereka tidak dapat membuat pilihan terbaik,” katanya lagi.