Pengambilan paksa tanah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur menggunakan Akta Pengambilan Tanah oleh pihak kerajaan tidak wajar berlaku memandangkan tiada keperluan awam yang mendesak untuk berbuat demikian.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata penggunaan akta tersebut oleh kerajaan amat mengejutkan kerana rundingan antara pemaju dan pemilik yang bermula sejak 2016 tidak mencapai kejayaan, tidak mewajarkan dari segi undang undang kerajaan campurtangan membantu pemaju.
“Kerajaan ambil tanah untuk kepentingan pemaju dan ini satu perkara yang sangat menghairankan. Sejak bila kerajaan bertindak sebagai wakil kepada pemaju dan menggunakan Akta Pengambilan Tanah. Apa yang kita tahu akta ini bertujuan untuk kepentingan awam.
“Sebelum jadi PM bila isu Kg Baru timbul (era Pakatan Harapan), YAB Ismail Sabri pernah keluarkan kenyataan macam mana nak gunakan Akta Pengambilan Tanah untuk pembangunan Kampung Baru.
“Kami (kerajaan PH) tak pernah sebut nak gunakan akta itu. Kami berunding dengan penduduk dengan tawaran harga yang kami anggap baik dan munasabah. Tetapi Ismail Sabri ketika itu menyatakan akta itu hanya untuk kepentingan awam. Bina hospital, sekolah, projek tertentu yang menyumbang pembangunan ekonomi (yang membenarkan akta digunakan),” katanya dalam sidang media bersama wakil penduduk Kg Sg Baru, pagi tadi.
Selain itu, mantan Menteri Wilayah Persekutuan itu juga menimbulkan tujuan asal flat di kampung Sg Baru dibina. Iaitu untuk menaiktaraf kehidupan orang Melayu di Kuala Lumpur dan diarahkan pembinaannya oleh Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris lebih 50 tahun lalu.
Namun kini katanya, dengan pampasan yang dijanjikan pemaju tidak setimpal dengan harga semasa maka penduduk menghadapi risiko kehidupan mereka diturun taraf.
“Sekarang kita khuatir tindakan ini menyebabkan kualiti kehidupan pemilik didowngrade. Sebagai contoh pampasan dia beri rumah flat RM200,000. Saya nak tanya kalau dapat RM200,000 penduduk nak pergi mana? Mana ada rumah di KL harga RM200,000?
“Rumah mampu milik RM300,000. Ini menyebabkan kualiti kehidupan pemilik diturunkan. Mereka terpaksa menyewa kerana mata pencarian di KL, bila duit habis jadi setinggan?
“Pampasan mesti upgrade. Mereka ini pemilik, bukan setinggan nak halau. Kita kena ingat tanah Sg Baru ni bukan tanah Kg Baru yang di bawah Malay Agricultural Settlement. Syarat pemilikannya ketat, pemilik Melayu, penyewa pun Melayu. Kg sg Baru ini terbuka.
“Sebab itu mereka mahu, boleh buat kondominium, apartment dan sebagainya. Boleh dijual kepada semua orang, terbuka, tidak semestinya bumiputra. Harga sepatutnya lebih tinggi. Kalau dulu Najib kata Kg Baru RM3,000 sekaki, ini tanah bebas kenapa tawaran begitu rendah,” katanya.
Khalid juga menimbulkan isu pengusiran penduduk di rumah teres di Kg Sg Baru.
Katanya hal itu lebih rumit kerana notis paksa keluar telah diserahkan namun pampasan tidak diketahui berapakah nilainya.
“Setakat ini notis dah dapat tetapi harga pengambilan tak diberitahu.
“Sekali lagi kerajaan bertindak bagi pihak pemaju dan tak ambil kira kepentingan pemilik. Pihak rumah teres dah bincang, biar mereka sesama mereka berunding dengan pemaju dan buat pembangunan yang dipersetujui,” katanya.
Khalid menggesa agar kehendak penduduk itu dihormati dan membenarkan mereka memberi cadangan pembangunan di kawasan rumah teres berkenaan.
“Mereka ingin bersama membuat rancangan pembangunan kerana mereka pemilik. Pemaju patutnya bincang dan pemilik. Tetapi ini (apa terjadi) dipaksa keluar dan kita tidak tahu apa yang mereka akan perolehi. Dari segi keadilan kita pertikai.
“Saya minta PM pantau isu ini. Ini di antara kawasan Melayu di KL. Tak ada langsung bukan Melayu. Lalu diusir keluar. Pada masa sama nak jamin orang Melayu dalam bandar, nak bela nasib Melayu, cakap lain buat lain. Kalau nak pembangunan hormat pemilik tanah.
“Mereka dah duduk 50 tahun. Nampak gaya macam Menteri Wilayah tak ambil berat masalah ini dan menyebelahi pihak pemaju,” katanya lagi.