Persepsi yang mengatakan KEADILAN semakin lemah di Sarawak selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021 lalu tidak benar.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak, Abun sui Anyit, parti itu masih kukuh dan kekal berjuang seperti biasa biar pun tidak dinafikan sedikit kecewa dengan keputusan PRN yang lalu.
“Bagi saya ada kesan. Bukan saja keputusan PRN tetapi sejak Langkah Sheraton di mana pemimpin utama kita melompat. Itu melunturkan semangat anggota kita. Tetapi bagi saya ini adalah satu ujian bagi kita yang mahu melihat perubahan di Sarawak.
“Baru ini kita bicara RM50,000 untuk projek kecil (jeti di Sibuti). Ini yang kita perlu lawan di Sarawak, di mana banyak lagi tempat lain projek yang tidak ada check and balance.
“Jawapan saya, dengan adanya KEADILAN dan bawa satu perjuangan membersihkan kebobrokan di Sarawak, maka parti ini saya yakin boleh memberi nafas baru kepada rakyat membersihkan semua kotoran
“Saya melihat semangat tidak terlalu terjejas kerana dalam pemilihan 2022 ini banyak yang menawarkan diri
“Juga tidak ada cabang yang mati. Orang kata kita akan jadi parti nyamuk di Sarawak. Hal itu tidak benar,” katanya dalam forum maya “Jangan Panas Bersama Sam” yang dimoderatorkan oleh Ketua Penerangan KEADILAN pusat Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin semalam.
Tambah Abun Sui, banyaknya individu yang menawarkan diri untuk bertanding di peringkat cabang atau ranting KEADILAN menunjukkan parti masih mendapat sambutan dan bakat bakat baharu akan menaikkan semula prestasi parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang berkata, malah ada cabang yang disifatkan ‘panas’ kerana banyaknya pemimpin yang menawarkan diri dan itu disifatkan Abun sebagai baik untuk demokrasi.
“Walaupun ada pihak kata panas tetapi ini respon baik bagi KEADILAN di Hulu Rajang kerana banyak yang bersedia jadi AJK di Cabang Hulu Rajang, di mana saya pertahan jawatan jawatan Ketua Cabang dan AJK juga mempertahankan jawatan.
“Begitu juga wanita dan AMK. Bagi saya ini satu perkembangan baik. Banyak yang tawar diri menyumbang kepada parti. Saya harap anggota Hulu Rajang akan melihat pengorbanan kita yang tak pernah mundur.
“Saya sudah terlibat sejak Parti Keadilan Nasional lagi, membantu calon waktu itu. Habis belajar dan jadi peguam terus saya membantu parti membawa obor KEADILAN di Hulu Rajang. Di kawasan pendalaman yang amat mencabar seluas negeri Pahang,” katanya.
Ditanya Shamsul mengenai persediaan KEADILAN Sarawak menghadapi PRU 15, Abun Sui berkata, persiapan telah dilakukan sejak PRN lalu yang menjangkakan PRU akan diadakan serentak.
Cuma ketika ini, katanya, persediaan lebih kepada menguatkan kembali semangat dan jentera untuk menghadapi pertempuran yang lebih besar.
“Kita ramalkan PRU sejak tahun lepas, saya pun lakukan aktiviti serampang dua mata.
“PRU 15 saya optimis. Di lapangan banyak yang tidak puas hati dengan wakil rakyat yang ada sekarang. Apa yang kita lakukan kita teruskan kerja dan setiap kali PRU ada peningkatan.
“Pertama kali saya bertanding kurang sambutan (undi), PRU 14 ada pertambahan undi dan akan datang ada orang kata mungkin kalau kehendak Tuhan maka akan diberi tanggungjawab oleh rakyat. Ini semangat yang kita bawa kali ini.
“Saya yakin dengan momentum yang ada sekarang kita akan membuat kejutan di Hulu Rajang,” katanya lagi.