Jumlah luar biasa calon yang menawarkan diri untuk bertanding pelbagai posisi dalam KEADILAN menunjukan demokrasi tumbuh subur di dalam parti tersebut.
Bagi Ketua Wanita KEADILAN Sarawak, Zulhaidah Suboh, hal itu juga membuktikan KEADILAN tidak lumpuh atau dilupakan ahli selepas mengalami 3 kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri.
“Secara peribadi calon 10,000 lebih ini menunjukkan isyarat positif, di mana sebahagiannya anak muda dan muka baharu.
“Maka ditanyakan selepas pemilihan apa akan berlaku? Kita harap pemilihan akan menjadi satu wadah penyatuan. Biasalah berlainan pendapat, yang luar biasa jika kita khianat parti.
“Orang kata pemilihan kali ini panas tetapi dengan panas inilah lahir benih baru menuju Pilihan Raya Umum (PRU). Untuk pemilihan kita mohon yang bertanding jaga adap dan disiplin serta jadi contoh kepada anak muda yang akan memilih kita satu hari nanti,” katanya dalam forum maya “Jangan Panas Bersama Sam” yang dimoderatorkan oleh Ketua Penerangan KEADILAN pusat Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, semalam.
Menyentuh mengani sayap parti, Ketua Wanita KEADILAN Subuti itu berkata, Wanita KEADILAN dan Angkatan Muda KEADILAN amat perlu dipimpin oleh pimpinan berwibawa memandangkan cabaran yang bakal dihadapi dalam PRU ke 15 kelak amat hebat dan berat.
“Sayap Wanita perlu ke hadapan, AMK pula merupakan anak muda yang bakal menarik pengundi 18. Wanita ini gerak kerja lain daripada kaum lelaki. Pendekatannya lebih kepada keibuan.
“Sebab itu dalam pemilihan parti kita suarakan lebih pencalonan wanita dalam MPP. Sekiranya wanita ramai terlibat dalam MPP maka boleh menjadi kekuatan kepada perjuangan itu.
“Wanita boleh memberi perubahan yang besar. Pengundi (dalam pilihan raya) pun majoritinya adalah wanita,” katanya.
Manakala isu tular di Sarawak, seperti pembaziran pembinaan jeti kayu dengan kos RM50,000 baru baru ini, Zuhaidah berkata, hal itu terjadi apabila rakyat tidak melakukan perubahan dan membenarkan kerajaan yang korup menang untuk berpuluh puluh tahun lamanya tanpa ditukar parti lain yang lebih kompeten.
“Jeti tular di DUN Bekenu, Parlimen Sibuti. Jeti ini berharga RM50,000 dan dalam projek itu patut dibuat 3 bulan tetapi siap dua hari. Ia bukan biasa bagi kita. Kita bayangkan kos RM50 itu boleh bina rumah PPRT.
“Jeti itu untuk kegunaan penduduk kampung namun dibina tanpa ada pemegang tangan dan tanpa bumbung sepanjang 15 meter. Ada netizen nakal berkata kosnya hanya RM10,000 – 20,000 sahaja.
“Ini yang dikatakan projek kos tinggi tetapi tidak menepati piawaian. Kita mendesak SPRM, JKR membuat siasatan ke atas syarikat pembinaan terbabit
“Inilah yang rakyat perolehi dengan sebuah kerajaan yang tidak pernah bertukar, projek ‘melepas batuk di tangga’.
“Sepatutnya di Sarawak hampir 60 tahun kerajaan yang sama memerintah, seharusnya kerajan memberi perkhidmatan yang lebih baik. Tidak wajar jeti 15 meter tidak menitik beratkan keperluan penduduk. Kita amat harap kerajaan akan naik taraf jeti ini,” katanya lagi.