Pemilihan KEADILAN 2022 wajar mengelakkan budaya cai dan berpuak puak yang telah memecahkan parti pada pemilihan 2018 lalu.
Calon Naib Presiden KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub berkata, ahli parti dalam pemilihan kali ini seharusnya menilai seseorang calon berdasarkan keupayaan memimpin, idea dan pengorbanan mereka kepada parti, bukan mengikut senarai yang diberi.
“Kita perlu mengelakkan budaya kabilah atau cai. Saya yakin dalam 10 tahun KEADILAN kenalkan satu anggota satu undi, kita telah kenal pemimpin. Walaupun yang mungkin mengundi sekitar 100,000 – 200,000 anggota saya kira kita semua telah cukup matang dan bijak. Perlu mengundi mengikut siapa kita kenal track recordnya, bukan bergantung kepada cai dan kelompok kabilah.
“Ini (budaya cai) agak merbahaya kepada parti, kepada perjuangan. Akhirnya kita mahukan yang terbaik daripada semua kelompok yang membina KEADILAN ini. Yang telah membina perjuangan reformasi. Sebab kita datang dari pelbagai kalangan, kelompok pekerja, pelajar, belia, peniaga, pemandu teksi, teknokrat, akademik dan lain lain latar belakang.
“Saya kira kita kena garap semuanya, tidak perlu kita adakan cai atau ‘rakit’ sehingga kita akan terikat dengannya untuk mengundi kabilah tertentu,” kata Mustaffa.
Selain itu, mantan Setiausaha Agung KEADILAN ini juga mahu budaya yang ‘menang ambil semua’ dihentikan selepas pemilihan sebagaimana dua pemilihan lalu yang menyebabkan tidak terpilih gagal menyumbang untuk membangunkan parti.
“Juga perlu kita bina sikap jangan winner take all. Yang menang, yang kalah kesemuanya kita rangkul setelah pemilihan selesai.
“Selepas pemilihan kita perlu merapatkan semula saf kita,” ujarnya.
Sebelum itu, Mustaffa mengetengahkan 5 teras visi dan misi yang beliau bawa kali ini sebagai calon Naib Presiden.
Katanya, dalam teras pertama beliau berjanji akan membantu presiden memantapkan idelogi perjuangan KEADILAN berasaskan konsep masyarakat madani, Deklarasi Permatang Pauh melalui semaraknya program latihan dan media sosial.
“Ini sebahagian besarnya telah kita gerakan melalui jelajah RAPAT (NGO) Rakyat, melalui program meraikan 1,000 reformis (MESRE) di bawah Gabungan Reformis Malaysia atau RAPAT.
“Kedua membanu presiden menyemarakkan penyatuan anggota KEADILAN dengan politik nilai dan budaya itqan. Serta program ekonomi dan kebajikan bagi anggota KEADILAN dan rakyat keseluruhannya yang telah pun kita gerakkan sejak 2 – 3 tahun kebelakangan ini melalui RAPAT, Koperasi K3M, Dapur RAPAT Rakyat (bantuan banjir), atau Bakul Rapat Rakyat (bantuan makanan asas).
“Ketiga saya ingin bantu presiden dalam menggembeling reformis awal yang setia dalam perjuangan sejak dua dekad lalu bagi mewujudkan pasukan yang mantap untuk merialisasikan agenda reformasi Malaysia,” katanya.
Teras keempat pula, menurut mantan Naib Presiden KEADILAN itu ialah membantu presiden bagi mencapai kemenangan Pilihan Raya Umum 15 dengan menggerakkan tindakan strategik yang dokumennya telah diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Untuk membawa rakyat Malaysia memasuki gerbang Revolusi Industri (IR) 4.0 pula, mantan Pengarah Strategi KEADILAN berkenaan mahu membantu presiden menyusun semula ekonomi, menyusun semula sektor pekerjaan, merombak struktur pendidikan berasaskan IR 4.0, memperkenalkan harga lantai komoditi utama dan memperbanyakkan R&D serta pemberian subsidi makanan rugi seandainya KEADILAN dan Pakatan Harapan berjaya memerintah negara.
Katanya, biar pun dalam tempoh 4 – 5 tahun kebelakangan beliau tidak memegang jawatan dalam parti namun dengan bantuan reformis dan rakan rakan beliau telah berjaya menggerakkan pelbagai NGO, mendaftarkan koperasi K3M untuk membantu para reformis juga mejalankan NGO RAPAT Rakyat bagi memberi bantuan kepada para anggota parti serta rakyat marhaen memerlukan.