Sindiran Menteri Sumber Manusia M Saravanan kononnya isu buruh paksa di Malaysia gagal diselesaikan akibat pengurusan tidak cekap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara sejak beberapa hari lalu dianggap sebagai mengarut.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hakikatnya isu buruh paksa telah ditimbulkan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) sejak 2006. Kerajaan AS memasukkan sektor tekstil (garment), sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia sebagai sektor yang menghasilkan barangan menggunakan buruh paksa
Katanya, Malaysia diletakkan dalam senarai YVPRA (Trafficking Victims Protection Reauthorization Act) yang dikeluarkan secara tahunan.
“(Hal itu berlaku) zaman BN, bukan PH. Kemudian mulai 2009 sektor sawit Malaysia pula dimasukkan dalam senarai YVPRA dan masih dikekalkan dalam senarai tersebut hingga ke hari ini
“Pada 2014 sektor sawit bukan sahaja disenaraikan sebagai sektor yang menggunakan buruh paksa tetapi juga buruh kanak-kanak di ladang ladang. Ini juga di zaman BN, bukan zaman PH,” katanya menjawab menteri dari BN itu.
Hassan yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi Dan Hak-hak di Bawah Perlembagaan, Parlimen Keempat Belas berkata, sumber berkenaan tercatat dalam rekod Kementerian Perusahaan, Perdagangan dan Komoditi sebagaimana yang dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa itu pada 24 November tahun lalu.
Oleh itu, katanya, amat tidak masuk akal apabila Saravanan berkata semua yang berlaku adalah kelemahan kerajaan PH.
“M Saravanan sebagai Menteri Sumber Manusia cuai dan reckless jika kata dia tak tahu. Nampaknya dia bekerja secara silo seorang diri. Sedangkan isu buruh paksa ini melibatkan kabinet dan lain lain Kementerian seperti MITI dan KDN.
“Manakala Kementerian Sumber Manusia adalah Kementerian terpenting dalam isu ini sebab buruh adalah di bawah bidang kuasa Kementerian itu,” kata Hassan lagi.
Baru baru ini, mantan menteri sumber manusia era PH M Kulasegaran berkata tindakan Saravanan yang meminta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia untuk memaklumkan sebarang siasatan berhubung buruh paksa di negara ini dianggap sebagai “melucukan.”
Kulasegaran berkata, permintaan itu satu cubaan yang lemah untuk menutup ketidakmampuannya dalam mengekang isu buruh paksa di Malaysia.
“Saravanan mesti tidak tahu cara siasatan berfungsi. Jika, siasatan didedahkan sebelum tindakan diambil, apakah kebaikan penyiasatan itu?
“Mungkin dia fikir masyarakat antarabangsa boleh ‘dibeli’ dan terpengaruh,” kata Kulasegaran.
Namun Saravanan membalas dalam Twitter berkata, kerjaan BN perlu mengambil sedikit masa untuk membersihkan ‘sampah’ yang ditinggalkan PH dalam tempoh 22 bulan memerintah.