Pilihan Raya Umum ke 14 yang bakal berlaku dalam beberapa bulan akan datang mewajarkan KEADILAN mempersiapkan pasukan yang boleh saling meneguhkan parti
Menurut calon naib presiden, Datuk Seri Amirudin Shari, pemimpin yang perlu dilantik tentulah yang menyatukan parti dan bukan memisahkan.
“Tugas kita dalam pilihan raya adalah untuk menang. Nak menang majorti mudan, nak dapat banyak undi mestilah ramaikan kawan kurangkan musuh
“Oleh itu pilihlah mereka yang boleh berdepan pilihan raya, bukan pilihan raya selepas PRU 15.
“Kita nak berdepan PRU 15 tetapi kita bincang pula PRU 16. Ada masalah kita kenal pasti masalah sekarang (bukan masa depan) dan selesaikan masalah,” katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Aidilfitri #KitaSemuaKEADILAN cabang Pandan, semalam.
Amirudin juga mengimbau sejarah panjang KEADILAN yang menyatukan pelbagai pimpinan NGO, politik, gerakan dakwah pelbagai aliran. Juga menyatukan DAP dan Pas untuk menumbangkan BN.
Katanya, tradisi penyatuan itu perlu dihayati dan dikekalkan dalam memilih kualiti calon pimpinan dalam pemilihan.
“Maknanya parti ini kumpulkan macam macam orang dan golongan. Parti ini bukan nak menang sendirian, nak menang seorang diri. Apa yang saya kata, roh parti ini roh keadilan, bawa perubahan lawan kezaliman, berani menentang penguasa zalim, berani mengangkat suara menetang kezaliman. Dan bukan itu saja, berani ajak mereka yang nak sama dengan kita lawan kezaliman (bersekutu).
“Pas dan DAP sukar disatukan tetapi boleh dibawa dalam gagasan lawan BN.
“Nak pilih pimpinan parti menjelang pilihan raya kita mesti cari orang nak kumpul kekuatan, bukan nak pisahkan kita. Bukan nak demoralize kita.
“Kita pernah lalui kesusahan dan sampai ke tahap yang selesa ini mengapa kita bercakap tak ada ruang, tak ada peluang. Dalam PRU 2004 tinggal 1 kerusi kemudian kita boleh bangkit PRU 2008, nafikan majoriti 2/3, mengapa kita tak boleh buat sekarang. Kenapa kita tak boleh kekalkan sekarang,” katanya.
Amirudin turut menekankan, KEADILAN merupakan parti golongan muda dan reform. Oleh itu pimpinan perlu diisi dengan kelompok reform. Selain memberi kepercayaan kepada golongan yang setia dan istiqomah dalam perjuangan serta memelihara parti selepas berlakunya pengkhianatan pada 2020 lalu.