Pembangunan spektrum jalur lebar 5G yang dilakukan secara pilot project di beberapa lokasi pada pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akhirnya menjadi projek kroni yang hilang hala tuju pada era pemerintahan BN – PN.
Menurut Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, projek pemasangan 5G seharusnya telah pun hampir lengkap ke seluruh negara sekiranya kerajaan PH tidak dijatuhkan dan Malaysia akan menjadi negara antara terawal berjaya dirangkaikan dengan jalur 5G di Asia Tenggara dalam beberapa tahun.
“Bermula dengan projek demonstrasi 5G di Langkawi pada Disember 2019, kerajaan bertekad memulakan pembangunan rangkaian 5G pada tahun 2020. Sekaligus menjadikan Malaysia antara negara pertama di Asia Tenggara yang memulakan inisiatif mendukung teknologi 5G.
“Namun, selepas kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih, dan selepas 12 bulan menunggu, Digital Nasional Berhad (DNB) ditubuhkan untuk menerajui pembangunan 5G melalui model Rangkaian Borong Induk (Single Wholesale Network). Dijanjikan pada ketika itu bahawa rangkaian 5G akan dilancarkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya pada hujung 2021. Namun sehingga hari ini, masih tidak ternampak sebarang kemajuan dalam penawaran perkhidmatan 5G kepada rakyat.
“Kemudian dasar tersebut berputar lagi. Pada 29 Mac 2022, diumumkan bahawa 70 peratus saham DNB akan dijual kepada empat pengusaha rangkaian mudah alih iaitu Celcom Axiata, Digi, Maxis dan U-mobile.
“Mereka diberikan tempoh 3 bulan sehingga hujung Jun untuk mempertimbangkan tawaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas ADUN Semambu itu, kesemua pusingan-U dan perubahan dasar tersebut telahpun menjejaskan pelaksanaan 5G di Malaysia. Malah harga saham 3 syarikat telekomunikasi (Telco) gergasi Maxis, Digi dan Axiata telahpun mengalami kerugian sebanyak RM26 bilion.
Oleh itu Chean Chung mahu kerajaan menjelaskan beberapa persoalan yang tidak mempunyai jawapan selepas dua tahun projek 5G tersebut dirancang.
“Persoalannya mengapakah Telco masih enggan menyatakan persetujuan mereka untuk membeli data daripada DNB?
“Apakah hasil keputusan yang dijangka menjelang hujung Jun 2022 ini? Dan adakah pemasangan dan pelaksanaan 5G diganggu akibat perbincangan yang sering dilanjutkan?” tanyanya.
Manakala situasi paling buruk, kata Chean Chung, Malaysia mungkin akan ketinggalan dalam penguasaan kepenggunaan serta aplikasi hasil teknologi 5G dengan kelewatan menyediakan insfrastruktur asas.
“Pembangunan infrastruktur 5G adalah satu perkara yang diperhatikan di peringkat antarabangsa, melibatkan daya saing nasional di serantau, dan tidak wajar dilambat-lambatkan.
“Apatah lagi berhadapan dengan pelbagai campur tangan politik serta penglobian pihak-pihak tertentu,” katanya.