Anggota KEADILAN tidak boleh memiliki perasaan tidak yakin akan kemenangan menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Calon Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata parti telah melalui banyak kali kekalahan dan kemenangan.
Oleh itu, katanya kekalahan dalam 4 Pilihan Raya Negeri baru baru ini diharapkan akan ada kebangkitan bergaya pada PRU ke 15.
“Kita pernah rasa banyak kali kalah daripada menang. Setiap kali kalah kita bangkit dengan bergaya.
“Kita akan menyelesaikan kesemua mesej yang dihantar oleh rakyat untuk kita hadapi PRU. Kita akan selesaikan rundingan kerusi dalam PH. Kita akan melakukan semakan data mempersiapkan parti melalui polisi yang disusun dengan analisis data dan menapis potensi calon yang ada.
“Kita menyusun manifesto, skrip dan naratif kempen untuk kita berjumpa dan menerangkan kepada rakyat. Kita harus masuk dengan satu sikap optimis, tak boleh mengalah, slogan kita ‘lawan tetap lawan’.
“Kerana itu kekalahan di 4 negeri banyak memberi pengajaran dan kita akan belajar dari situ. Orang kata kalah itu gambaran gelapnya malam. Orang juga kata, bila malam bertambah pekat itu tandanya fajar semakin dekat. Yang ada ialah cahaya menggantikan kegelapan itu. Ini agak falsafah sikit,” ucapnya dalam Majlis Sambutan Aidilfitri di Cabang Gombak, malam tadi.
Namun menurut Saifuddin lagi, sebelum bangkit penuh bergaya maka rakyat mahu melihat KEADILAN yang bersatu dan mantap terlebih dahulu.
Hal itu akan diperolehi, katanya jika anggota memilih calon yang betul dalam Pemilihan KEADILAN 2022.
“Tetapi nak yakinkan rakyat perlu kukuhkan dulu parti, satukan hati pejuang parti, gembeleng semua potensi orang nak menyumbang kepada parti.
“Bila parti telah mantap, mudah kita turun jumpa rakyat untuk bawa tawaran kita. Tawaran yang pertama mestilah misinya mempertahankan kerajaan kita di Selangor yang diketuai oleh Datus Seri Amirudin Shari. Yang itu tak ada kompromi,” katanya.
Selain itu, Setiausaha Agung KEADILAN itu juga mengimbau serba sedikit sejarah panjang perjuangan beliau dalam parti yang sama sama diasaskannya pada 1999.
Menurut Saifuddin, beliau telah menjadi Setiausaha Agung selama 12 tahun. Pernah menjadi Pengarah Strategi dan Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN.
“Kalau kawan kawan di Gombak merasakan satu sifat yang perlu ada kepada timbalan presiden parti ialah pengalaman maka saya minta pertimbangkan Saifuddin untuk jawatan timbalan presiden .
“Selepas Februari 2020 pula, ada satu lagi sifat yang mahal iaitu kesetiaan. Itu yang mahal dalam perjuangan kita. Kesetiaan kepada parti sesuatu yang berharga.
“Ini saya buktikan selama 23 tahun sama ada parti kuat atau lemah, senang atau susah, saya berjuang dan berkerja untuk KEADILAN.
“Kalau kawan kawan merasakan ciri timbalan presiden itu adalah kesetiaan, saya merayu untuk memberi peluang saya sebagai timbalan presiden,” katanya.
Di samping itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu juga tidak lupa memperkenalkan rakan #KitaSemuaKEADILAN seperti calon Naib Presiden Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid serta Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
“Rakan saya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya. Kalau kita masih ingat dia disebut giant killer kerana dia bertanding melawan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan apabila Datuk Ali kalah, Datuk Seri Shamsul jadi Ahli Parlimen manakala Tun Ali Rustam jadi Gabenor Melaka. Itu kelebihan Shamsul, calon nombor 17,” katanya lagi.